realme hadir dengan dua peranti peringkat pemula baharu di pasaran Malaysia melalui realme Narzo 50 5G dan Narzo 50 Pro 5G. Kedua-dua telefon ini boleh didapati di kedai rasmi realme Malaysia di Lazada bermula dari hari ini.
Untuk realme Narzo 50 Pro 5G, telefon yang lebih tinggi spesifikasinya berbanding yang satu lagi menawarkan paparan AMOLED Full HD 6.4-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz dan dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 5.
Dalam pada masa yang sama, telefon ini juga menggunakan cipset MediaTek Dimensity 920 bersama-sama storan dalaman 128GB. Telefon ini juga dilengkapkan dengan RAM 8GB dan boleh diperluaskan secara maya sebanyak 5GB lagi.
Pada bahagian belakang telefon ini disediakan tri-kamera dengan kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 8MP, dan satu kamera makro 2MP. Pada hadapannya, pula realme Narzo Pro 5G menyediakan satu kamera 16MP dan juga pengimbas cap jari terbina dalam yang juga boleh digunakan sebagai pembaca kadar denyutan jantung.
Telefon ini juga menyediakan sokongan Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2 dan juga 5G. Pun begitu, kedua-dua model telefon ini masih lagi belum memasuki senarai-senarai peranti yang boleh menggunakan rangkaian 5G DNB. Untuk audio pula, telefon ini didatangkan dengan bicu audio 3.5mm dan pembesar suara stereo yang menyokong Dolby Atmos.
realme Narzo 50 5G
Seterusnya, realme Narzo 50 5G pula menampilkan paparan yang lebih besar iaitu LCD IPS 6.6-inci FHD+ 90Hz dan menggunakan cipset MediaTek Dimensity 810. Sama seperti model Pro telefon ini, ia hanya menawarkan pilihan storan 128GB dan RAM 6GB sahaja dengan sokongan penambahan RAM maya sehingga 5GB.
Bagaimanapun, berbeza dengan model Pro, Narzo 50 5G ini hanya menawarkan pengimbas cap jari yang ditempatkan pada bahagian sisinya.
Bahagian belakang telefon pintar ini pula menawarkan satu kamera utama 48MP dan kamera berkedalaman 2MP. Manakala bahagian hadapannya pula menempatkan sebuah kamera 8MP. Ia juga mempunyai bicu audio 3.5mm, pembesar suara stereo, dan sokongan Bluetooth 5.3. Tiada sokongan Wi-Fi 6 seperti yang terdapat pada model Pro.
Kedua-dua telefon ini dikuasakan oleh bateri berkapasiti 5,000mAh, sokongan pengecasan berwayar 33W bersama-sama antaramuka realme UI 3.0 berasaskan Android 12.
Harga realme Narzo 50 5G dan realme Narzo 50 Pro 5G di Malaysia
realme Narzo 50 5G berharga RM1,099, manakala realme Narzo 50 Pro 5G pula berharga RM1,299. Buat anda yang membeli telefon pintar ini dari 25 Mei hingga 31 Mei ini, anda boleh mendapatkannya pada harga istimewa iaitu RM899 untuk realme Narzo 50 5G dan RM1,099 untuk realme Narzo 50 Pro 5G.













