Pengguna perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL kini mempunyai alternatif kaedah pembayaran baharu menggunakan kad debit dan kad kredit selain pembayaran menggunakan kad fizikal Touch ‘n Go dan secara tunai yang sedia ada.
Berdasarkan pengumuman yang telah dikeluarkan, pengguna yang menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, monorel dan BRT boleh menggunakan kad debit atau kredit untuk membeli token (untuk LRT dan MRT) atau membuat isian semula kad fizikal Touch ‘n Go. Anda juga boleh melanggan pas perjalanan My50 atau MyCity menggunakan kad debit atau kad kredit.
Walaubagaimanapun, anda tidak boleh menggunakan kad debit atau kad kredit secara terus untuk menggunakan perkhidmatan bas atau di get keluar masuk MRT dan LRT. Pembayaran melalui kad tersebut perlu dibuat di kaunter khidmat pelanggan Rapid KL atau kaunter Pendaftaran Kad Konsesi.
Kaunter Pendaftaran Kad Konsesi hanya terdapat di Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen MRT Conlay sahaja. Penambahan kaedah pembayaran baharu ini dijangka dapat membantu pengguna yang tidak mempunyai wang tunai atau baki kad Touch ‘n Go yang mencukupi ketika ingin menggunakan pengangkutan awam.













