Tidak lama selepas ancaman ransomware terhadap peranti Android melalui aplikasi pornografi, ESET mendakwa telah menemui sejenis ransomware terbaru yang dikenali sebagai Android/Lockerpin.A. Ransomware yang baru ditemukan ini mampu mengunci peranti Android dengan menggunakan PIN.

Secara tidak langsung, hal ini menunjukkan ransomware telah menemukan cara yang terbaru untuk menguncikan peranti dari digunakan oleh mangsa-mangsanya. Sebelum ini, ransomware bertindak dengan memaparkan tertingkap nota tebusan pada paparan peranti mangsanya dengan tujuan menghalang mangsa dari menggunakan peranti yang dijangkiti tersebut.

Walaupun ianya menjengkelkan para pengguna, ransomware jenis-jenis terdahulu masih boleh dinyahkan dari sistem operasi Android pengguna melalui Android Debug Bridge (ADB) atau dengan cara menyahaktif hak-hak keistimewaan Administrator peranti dan membuang pemasangan ransomware tersebut dalam Safe Mode.

Bagaimanapun, ransomware terbaru yang mengunci PIN ini boleh menggagalkan segala usaha yang dilakukan oleh mangsa untuk memulihkan peranti mereka. Satu-satunya cara bagi pengguna untuk memulihkan peranti mereka adalah dengan kembali ke tetapan kilang (factory reset). Namun, cara ini akan membuatkan kesemua data pengguna akan hilang.

Selain itu, ransomware jenis ini juga memegang hak keistimewaan Administrator dan menjadikannya terus kekal dan tidak boleh dibuang dari sistem operasi peranti.

Sebaik sahaja peranti mangsa dikunci oleh Android/Lockerpin.A ini, ia akan memaparkan satu notis peringatan yang kononnya dari FBI yang mendakwa mangsa ada menyimpan kandungan pornografi dan meminta menjelaskan kompaun sebanyak USD 500 untuk mendapatkan kembali akses terhadap peranti.

Ransomware ini hadir melalui pemasangan aplikasi yang diberi nama sebagai Porn Droid. Bagaimanapun, aplikasi ini tidak terdapat pada Play Store. Ia lebih kurang sama dengan aplikasi yang mengandungi ransomware lain yang hadir melalui pemasangan dari pihak ketiga seperti aplikasi Blackmart.

Sumber berita diperoleh dari ESET

Tinggalkan komentar