Qualcomm secara rasminya telah melancarkan cipset baharu berkesinambungan dari Snapdragon 8 Gen 1 iaitu Snadragon 8+ Gen 1. Selain dari memperkenalkan cipset mercu baharu tersebut, turut diperkenalkan siri baharu, Snapdragon 7 Gen 1.
Snapdragon 8+ Gen 1 membawakan segala ciri terbaik yang dibawakan oleh 8 Gen 1 dengan penambahbaikan dari segi lebih cekap dan pantas. Menurut Qualcomm, cipset mercu baharu ini 10% lebih pantas dengan 30% pengurangan penggunaan tenaga ketika memainkan permainan mudah alih.
Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1
Dari segi spesifikasinya, 8+ Gen 1 masih lagi menggunakan Artificial Intelligence Engine (AIE) yang mengandungi CPU okta-teras Kryo, GPU Adreno, dan Pemprosesan Hexagon. Ia juga diperbuat dari pelbagai komponen yang merangkumi senibina Fused AI Accelerator, Vector eXtensions, Scalar Accelerator, dan juga Tensor Accelerator.
Cipset yang mengandungi Modem 5G Snapdragon X65 ini juga menyokong Wi-Fi 6E dan Bluetooth 5.3. Tidak ketinggalan, ia juga menyokong codec aptX dan juga teknologi pembatalan hingar Qualcomm Aqstic.
Untuk pengimejannya pula, Image Signal Processor (ISP) pada cipset ini mampu menyokong tetapan tri-kamera dengan saiz sensor sehingga 36MP, dwi-kamera sehingga 64MP+36MP, dengan kamera tunggal sehingga 108MP dan 200MP.
Snapdragon 8+ Gen 1 juga menyokong resolusi maksimum paparan 4K60Hz atau QHD+ pada 144Hz. Manakala resolusi melalui output ke paparan luaran pula pada 4K60Hz. Cipset ini juga menyokong HDR10+.
Qualcomm Snapdragon 7 Gen 1
Siri cipset terbaru ini merupakan rentetan dari siri cipset Snapdragon 700 sebelum ini. Sama seperti 8+ Gen 1, siri ini menggunakan Qualcomm AIE, menampilkan teras CPU dengan kelajuan klok sehingga 2.4GHz, dan juga GPU Adreno baharu. Ia juga didatangkan dengan beberapa ciri Snapdragon Elite Gaming seperti Adreno Frame Motion Engine, dan keupayaan menyokong paparan mudah alih pada resolusi QHD+.
Snapdragon 7 Gen 1 juga mengetengahkan Enjin AI Qualcomm generasi ke-7 yang mempunyai Deep Learning Face Detection bagi membolehkan pengecaman wajah dilakukan walaupun pengguna memakai pelitup muka. Dari segi prestasi, Qualcomm menyatakan ciri pintar baharu ini akan membawakan peningkatan 30% pada keupayaan pengecaman wajah melalui AI.
Dari segi paparannya pula, cipset ini menyokong resolusi dari FHD+ pada 144Hz hinggalah QHD+ pada 60Hz.
Untuk fotografi, ISP 7 Gen 1 mampu menyokong tetapan kamera utama sehingga tiga sensor dengan sokongan saiz sehingga sehingga 25MP. Manakala bagi dwi-kamera pula, sensor yang disokong sehingga 64MP+20MP dan bagi kamera tunggal pula ia mampu menyokong di antara 64MP dan 200MP.
Setakat ini, Qualcomm menyatakan kedua-dua Snapdragon 8+ Gen 1 dan Snapdragon 7 Gen 1 dijangka akan hadir pada beberapa peranti sekitar suku kedua tahun 2022.