September tahun lalu Sarawak telah menjalankan pengujian tram tanpa landasan yang dikenali sebagai Transit Pantas Berautonomi (Autonomous Rapid Transit (ART) pintar. Kini Putrajaya juga telah mengumumkan pelaksanaan yang sama dengan pengujiannya akan dilaksanakan pada 1 Februari ini bersempena Hari Terbuka Putrajaya 2024.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi halaman Facebook rasmi Perbadanan Putrajaya. Orang ramai boleh menaiki tram pintar ART berkenaan secara percuma sehingga 4 Februari 2024, sama dengan tarikh hari terbuka tersebut tamat. Pengujian tersebut bagaimanapun akan terus dijalankan sehingga Disember 2024.
Tidak banyak maklumat yang dikongsikan berkenaan pengujian tram pintar tersebut akan dijalankan selain dari tempoh empat hari percuma kepada orang ramai tersebut. Laluan yang akan digunakan oleh ART tersebut di Putrajaya juga tidak dinyatakan serta bagaimana tram tersebut melalui jalan-jalan raya di sekitar Putrajaya.
Orang ramai yang berminat untuk mencuba tram pintar ini boleh datang ke Kompleks Perbadanan Putrajaya di Presint 2.













