Minggu lepas OpenAI mengumumkan kerjasama strategik dengan pengeluar cip AI Nvidia untuk membina dan membangunkan pusat-pusat data berkuasa 10 gigawatt. Nvidia telah melaburkan sehingga $100 billion untuk projek memerlukan kuasa elektrik yang amat besar tersebut.

Menurut laporan Fortune, pusat-pusat data yang dirancang tersebut akan memerlukan jumlah tenaga elektrik lebih dari penggunaan seluruh kotaraya New Yok. Projek sedia ada melalui program Stargate di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump pula memerlukan lagi 7 gigawatt.

“10 gigawatt lebih dari permintaan tenaga kemuncak di Switzerland atau Portugal,” menurut Fengqi You, profesor kejuruteraan sistem tenaga di Cornell University kepada Fortune. “17 gigawatt pula sama seperti memberikan kuasa elektrik kepada kedua-dua negara berkenaan.

Sebagai perbandingan, jumlah tenaga elektrik di seluruh Malaysia pernah memuncak 19 gigawatt pada Mei 2023.

OpenAI dan sebuah lagi gergasi teknologi Oracle telah pun memiliki pusat data Stargate yang besar di Abilene, Texas. Ia menggunakan jumlah tenaga elektrik yang tinggi bersamaan jumlah penggunaan elektrik untuk kira-kira setengah juta kediaman. Lima lagi projek baharu dijangka memerlukan sehingga lagi tujuh gigawatt yang merupakan sebahagian daripada program pusat data AI Trump bernilai setengah trillion.

Penggunaan tenaga elektrik yang amat besar untuk AI dan perkomputeran secara amnya ini amat luar biasa dan tidak terjangkau dek akal keperluannya.

“Ia amat menakutkan kerana.. keadaan sekarang [perkomputeran] mungkin memerlukan kira-kira 10 hingga 12 peratus dari tenaga elektrik dunia menjelang 2030,” ujar profesor sains komputer University of Chicago, Andrew Chien memberitahu Fortune. “Kita sedang berhadapan dengan detik penting untuk kita memikirkan tentang AI dan kesannya terhadap masyarakat,”

Semuanya sudah dirancang

Untuk industri AI, semuanya merupakan sebahagian daripada perancangan.

“Segalanya bermula dengan penghitungan (compute),” Altman menyebut di dalam kenyataan pengumuman kerjasamanya dengan Nvidia. “Infrastruktur penghitungan akan menjadi asas untuk ekonomi masa hadapan, dan kami akan memanfaatkan apa yang kami bina dengan Nvidia untuk bersama-sama menghasilkan kejayaan cemerlang AI dan turut bersama-sama memperkasakan orang ramai dan perniagaan dalam skala besar,”

Kerancakan pembinaan infrastruktur AI ini turut menimbulkan kegusaran besar terhadap alam sekitar. Syarikat-syarikat gergasi teknologi turut mengakui masih belum mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon yang telah ditetapkan.

Ketika jejak karbon kesan daripada pembangunan teknologi masih lagi samar-samar, pusat-pusat data AI pada ketika ini menjadi beban terhadap bekalan air penduduk setempat. Penggunaan air yang banyak diperlukan bagi memastikan perkakasan kekal sejuk di pusat-pusat data untuk operasi yang optimal.

Pertambahan penggunaan tenaga elektrik yang mendadak juga mendorong pelepasan karbon dioksida. Melainkan jika industri AI benar-benar beralih ke sumber tenaga boleh diperbaharui. Menurut Profesor Fengqi You lagi, perkembangan dijangka akan mendorong peralihan ke janakuasa nuklear yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk diluluskan dan dibina.

“Untuk jangka pendek, industri perlu bergantung pada sumber tenaga boleh diperbaharui, gas asli, dan mungkin perlu menghidupkan semula janakuasa-janakuasa lama,” tambah beliau.

Dalam syarikat-syarikat teknologi terus menabur berbillion dolar untuk membina infrastruktur, jejak karbon dari penggunaan teknologi dijangka terus meningkat. Ini merupakan realiti malang yang perlu dicakna oleh industri mengambil kira krisis iklim kian parah akibat aktiviti manusia.

“Mereka memberitahu kita pusat-pusat data ini akan menjadi bersih dan mesra alam,” kata Andrew Chien kepada Fortune. “Tetapi dalam keadaan pertumbuhan AI, saya tidak rasa mereka mampu. Sekarang masanya untuk kita memaksa mereka menunaikan janji.”

Tinggalkan komentar