Punca di sebalik gangguan perkhidmatan Microsoft 365 yang melanda pengguna global, khususnya di Amerika Utara, akhirnya didedahkan oleh gergasi teknologi tersebut.

Menurut laporan, insiden yang bermula pada Khamis lalu menyebabkan ribuan pengguna gagal mengakses aplikasi produktiviti utama seperti Outlook dan Microsoft Teams.

Pihak Microsoft mengesahkan bahawa masalah ini berpunca daripada kegagalan sebahagian infrastruktur mereka dalam memproses trafik rangkaian seperti yang dijangkakan.

Gangguan ini dilaporkan bermula pada waktu puncak bekerja, menyebabkan kesulitan besar kepada organisasi dan individu yang bergantung kepada ekosistem Microsoft untuk komunikasi harian.

Selain Outlook dan Teams, perkhidmatan lain seperti Microsoft Defender dan Microsoft Purview turut mengalami masalah fungsi atau tidak dapat diakses sepenuhnya. Laman pemantauan Downdetector mencatatkan lonjakan aduan pengguna yang gagal menghantar atau menerima e-mel serta menyertai mesyuarat dalam talian.

Dalam satu kenyataan rasmi melalui laman status perkhidmatannya, Microsoft menjelaskan bahawa infrastruktur sandaran di rantau Amerika Utara tidak memproses trafik dengan betul, mengakibatkan kesesakan dan kegagalan sambungan.

“Sebahagian daripada infrastruktur bergantung di rantau Amerika Utara tidak memproses trafik seperti yang dijangkakan,” jelas Microsoft dalam kemaskini status mereka. Syarikat itu turut menambah bahawa mereka sedang giat melaksanakan langkah pemulihan.

Tindakan pemulihan dengan “rebalancing”

Bagi mengatasi masalah ini, Microsoft sedang melaksanakan proses “mengimbangi semula” (rebalancing) trafik ke seluruh infrastruktur yang terjejas. Langkah ini dilakukan secara berperingkat bagi memastikan kestabilan sistem dapat dikembalikan tanpa risiko gangguan berulang.

“Kami sedang bergerak secepat mungkin, dan kaedah berperingkat ini juga akan membantu kami menentukan jika langkah tambahan diperlukan untuk pemulihan yang mampan,” tambah kenyataan tersebut.

Situasi ini menjadi lebih rumit apabila laman status rasmi Microsoft 365 sendiri dilaporkan mengalami masalah untuk dimuatkan oleh sesetengah pengguna ketika insiden memuncak, menyukarkan usaha mendapatkan maklumat terkini mengenai status pemulihan.

Setakat laporan ini ditulis, walaupun sebahagian perkhidmatan telah mula pulih, masih terdapat pengguna yang melaporkan kesukaran mengakses akaun mereka.

Microsoft memberi jaminan bahawa pasukan teknikal mereka sedang memantau situasi secara rapi dan akan meneruskan usaha pemulihan sehingga perkhidmatan kembali beroperasi sepenuhnya pada tahap optimum.

Tinggalkan komentar