Proton telah berkongsikan imej rasmi model sedan Proton Saga MC3 2026 menerusi platform media sosialnya, hanya seminggu selepas model tersebut membuat penampilan di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Foto-foto ini memberikan pandangan jelas terhadap rekaan luaran dan dalaman baharu, berbanding model yang diliputi penyamaran sebelum ini. Model baharu ini akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium.​

Saga MC3 membawakan rekaan hadapan yang serba baharu, diketengahkan oleh lampu utama projektor LED yang dipadankan dengan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk L. DRL ini disambungkan secara kemas oleh rekaan signatur Proton, Ethereal Bow, yang kini diintegrasikan pada gril cekung lebar penuh.

Menurut Paultan, corak pada gril tersebut diilhamkan daripada Sulaman Songket. Penampilan sporty kenderaan ini diserlahkan lagi dengan corong udara lebar penuh pada bampar bawah.​

Di bahagian belakang, sedan ini dilengkapi dengan lampu LED lebar penuh yang disambungkan oleh bar lampu dengan tulisan “Proton”. Bampar belakang yang diukir dengan kemasan ala diffuser dan sedikit sentuhan krom turut menyumbang kepada imejnya yang lebih sporty. Ciri luaran lain termasuk rekaan roda baharu, pemegang pintu krom, dan bumbung yang diukir bersama antena kecil.​

Bahagian dalaman lebih moden

Bahagian dalaman Saga MC3 menampilkan susun atur yang lebih moden dan minimalis. Papan pemuka didominasi oleh tetapan dwi-skrin besar yang menyatukan kluster instrumen digital dan paparan infotainmen dalam satu panel.

Saga MC3 dilaporkan menjadi kenderaan segmen A pertama keluaran Proton yang menawarkan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard. Ciri-ciri lain termasuk stereng sporty dengan rekaan rata di bahagian bawah, pemilih gear yang kompak di konsol tengah, dan brek tangan manual. Tempat duduknya pula kelihatan dibalut dengan kulit hitam berserta jahitan kontras, memberikan suasana kabin yang lebih premium.​

Dari segi prestasi, Proton mengesahkan Saga MC3 akan dikuasakan oleh enjin empat silinder 1.5 liter Intelligent Green Technology (i-GT), unit yang sama digunakan pada model X50, namun tanpa pengecas turbo atau suntikan terus. Enjin ini akan dipadankan dengan transmisi CVT.

Sedan ini dibangunkan di atas platform Advanced Modular Architecture (AMA), yang merupakan versi penambahbaikan daripada platform sebelumnya. Buat pertama kalinya, Saga juga dijangka akan dilengkapi dengan suit keselamatan ADAS, berkemungkinan besar untuk varian spesifikasi tertinggi, Premium.​

Setakat ini, butiran yang didedahkan masih terhad. Maklumat lanjut mengenai spesifikasi penuh, ciri-ciri, dan harga rasmi dijangka akan diumumkan oleh Proton dalam masa terdekat, memandangkan pelancaran rasminya dijangka berlangsung menjelang akhir tahun ini.

Tinggalkan komentar