Proton, secara rasminya telah melancarkan model baharu Proton Saga 2026 dengan harga permulaan RM38,990. Sedan segmen-A ini kini ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu Standard, Executive, dan Premium.
Model baharu ini membawa pembaharuan ketara dari segi rekaan luaran, teknologi kabin, serta peningkatan ciri keselamatan berbanding model terdahulu.
Dari sudut rekaan luaran, Proton Saga 2026 menampilkan identiti Malaysia yang unik melalui gril hadapan cekung penuh yang dihiasi corak inspirasi Sulaman Songket, diapit oleh lampu utama projektor LED dan lampu siang (DRL) berbentuk L.
Penampilan sporty model ini diserlahkan lagi dengan bonet yang berukir serta rekaan bampar belakang yang mempunyai elemen gaya diffuser dan lampu belakang LED penuh yang dihubungkan dengan bar lampu berhuruf. Bagi varian Premium, ia hadir dengan rim aloi 15-inci dwi-nada rekaan ‘Directional Arrow’.
Ruang kabin menerima sentuhan moden dan kontemporari menerusi paparan dwi-skrin bersepadu 16-inci yang menggabungkan kluster instrumen digital 7-inci dan sistem infohibur 9-inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto.
Tema rekaan berinspirasikan budaya tempatan diteruskan di bahagian dalam dengan corak motif congkak pada corong penyaman udara serta corak gelombang Pantai pada papan pemuka.
Menurut Proton, komponen ‘Toothed Timing Chain’ yang digunakan mempunyai ketahanan melebihi 200,000 km dan merupakan komponen seumur hidup yang tidak memerlukan penyelenggaraan.
Proton Saga 2026 dibina berasaskan platform Advanced Modular Architecture (AMA) dan dikuasakan oleh enjin 1.5-liter Intelligent Green Technology (i-GT) empat silinder yang menghasilkan 120 PS dan 150 Nm tork.
Spesifikasi dan Harga
Berikut adalah senarai spesifikasi dan harga mengikut varian:
- Saga Standard (RM38,990): Transmisi 4AT, rim 14-inci, 2 beg udara SRS.
- Saga Executive (RM44,990): Transmisi 4AT, rim 15-inci, kamera undur, sensor parkir hadapan.
- Saga Premium (RM49,990): Transmisi CVT, rim 15-inci dwi-nada, 6 beg udara, 9 ciri ADAS (termasuk Amaran Perlanggaran Hadapan dan Amaran Keluar Lorong).
Sempena pelancaran ini, Proton menawarkan rebat masa terhad sebanyak RM1,000 yang sah sehingga 31 Disember 2025. Pembeli juga bakal menikmati pakej Pro-Warranty yang menawarkan jaminan 5 tahun atau 150,000 km.
Pelbagai pakej sokongan lain disediakan termasuk insentif tukar beli dan perlindungan insurans yang dipertingkatkan. Proton turut memberi jaminan komitmen perkhidmatan selepas jualan yang pantas, termasuk jaminan siap baiki dalam tempoh satu hari untuk servis biasa.


















