Poco M3, telefon pintar yang amat berbaloi pada bajet dan spesifikasinya akan dijual pada harga yang lebih menarik pada jualan 5.5. Anda boleh memiliki Poco M3 128GB dengan diskaun sebanyak RM200 kurang dari harga asalnya.
Dilancarkan secara rasminya dengan harga RM699, Poco M3 dengan RAM 4GB dan storan 128GB boleh dimiliki pada harga RM499 sahaja. Tawaran jualan kilat ini boleh didapati menerusi Shopee dan Lazada sejak dari tengah malam 5 Mei tadi.
Dari segi spesifikasi, M3 menampilkan paparan LCD HD+ Penuh 6.53-inci dan menggunakan cipset Snapdragon 662 dengan RAM 4GB. Telefon pintar ini juga ditawarkan dengan pilihan storan 64GB dan 128GB yang boleh diperbesarkan melalui kad mikroSD.
Untuk fotografinya pula, telefon ini hadir dengan tetapan tri-kamera dengan lensa 48MP sebagai kamera utamanya. Manakala dua buah lensa 2MP lagi masing-masing menyediakan keupayaan fotografi makro dan kesan kedalaman. Juga disediakan sebuah kamera 8MP dihadapannya untuk swafoto.
Telefon pintar ini juga didatangkan dengan bateri berkapasiti 6,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 18W melalui USB-C.
Turut ditawarkan pembesar suara stereo, bicu audio 3.5mm dan pemancar infra merah.













