HONOR Malaysia secara rasminya telah melancarkan Magic5, Magic5 Pro dan Magic Vs 5G ke pasaran Malaysia di Kuala Lumpur petang tadi. Ketiga-tiga model telefon pintar berkenaan pada awalnya telah diumumkan di dalam acara MWC 2023 di Barcelona baru-baru ini.
Menariknya, kesemua siri Magic ini ditawarkan dengan kemaskini Android untuk 3 tahun dan kemaskini keselamatan selama 5 tahun.
HONOR Magic Vs 5G
Telefon pintar mercu boleh lipat HONOR pertama di Malaysia, HONOR Magic Vs 5G mempunyai engsel rekaan khusus yang mampu bertahan untuk dilipat buka sebanyak 400,000 kali. Angka yang amat besar dan melebihi jangka hayat telefon pintar yang mempunyai penarafan TuV Rheinland ini.
Kelebihan dari teknologi kejuruteraan yang terdapat padanya juga menjadikan HONOR Magic Vs 5G telefon pintar boleh lipat paling nipis di pasaran setakat ini. Ia berukuran 8.8mm sahaja apabila dilipat dengan ruangan antara lipatannya begitu rapat hingga tidak kelihatan celahnya.
Telefon pintar yang seberat 267g sahaja ini juga mempunyai skrin OLED 6.45-inci 120Hz dengan kecerahan maksimum sehingga 1,200 nits. Selain itu ia mempunyai nisbah skrin-ke-kerangka 90% debgab warna gamut penuh DCI-P3.
Apabila dibuka, telefon pintar ini mempunyai skrin OLED 7.9-inci HDR10+ beresolusi 2,272 x 1,984 piksel apabila dibuka. Ia mempunyai kadar penyegaran semula 90Hz dan kecerahan puncak 800 nits.
Dari segi perkakasan pula, HONOR Magic Vs 5G menampilkan pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 bersama-sama RAM 12GB dan storan 512GB. Ia mempunyai sokongan rangkaian 5G, Wi-Fi 6 dan juga Bluetooth 5.2. Ia memiliki bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 66W.
Untuk kamernaya pula, telefon pintar ini mempunyai kamera 16MP yang salah satunya ditempatkan skrin luar dan satu lagi untuk skrin di dalam. Turut disediakan tri-kamera pada belakang telefon pintar ini yang mengandungi kamera dengan sensor Sony IMX800 54MP f/1.9, kamera ultra lebar 50MP f/2.0 dan kamera telefoto 8MP dengan zum optikal 3x.
Didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Cyan dan Black, HONOR Magic Vs 5G dijual pada harga RM5,999. Anda yang membuat pra-tempahan berpeluang menerima cenderahati percuma bernilai sehingga RM2,200. Selain itu, telefon pintar ini juga mempunyai jaminan pembaikan untuk skrin retak dalam tempoh 180 hari selepas pembelian jika terdapat keretakan pada skrin luar dan juga di dalam.
HONOR Magic5 Pro
Kami pernah membuat ulasan mengenai HONOR Magic5 Pro dan ia selayaknya telefon pintar mercu yang mantap dari segenap sudut. Paling menarik adalah pada binaannya yang kukuh serta keupayaan kameranya yang menduduki tangga teratas kedudukan DxOMark pada awal tahun ini.
Secara ringkas, HONOR Magic5 Pro didatangkan dengan skrin melengkung OLED 6.8-inci FHD+ LTPO dengan kadar penyegaran semula skrin 120Hz, kecerahan puncak 1,800 nits dan nisbah aspek 19.5:9. Di dalamnya, ia menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 bersama-sama RAM LPDDR5X 12GB dan storan UFS 4.0 512GB. Sistem operasinya merupakan Android 13 dengan antaramuka Magic OS 7.1.
Tri-kameranya pula yang digelar dengan nama sistem Falcon Triple Camera menampilkan satu kamera utama 50MP f/1.6 OIS, kamera ultra lebar 50MP dan kamera telefoto 50MP dengan zum telefoto sehingga 3.5x dan zum digital sehingga 100x. Melalui bateri berkapsiti 5,100mAh, telefon pintar ini juga menyokong pengecas pantas berwayar 66W, pengecas nirwayar 50W dan nirwayar berbalik 5W.
Di Malaysia, HONOR Magic5 Pro boleh di dapati dengan pilihan warna Meadow Green atau Classic Black pada harga RM4,299. Anda yang membuat pra-tempahan layak menerima cenderahati percuma bernilai sehingga RM1,200.
HONOR Magic5
HONOR Magic5 pula disasarkan untuk pengguna arus perdana dengan harga yang lebih rendah berbanding dua model yang dinyatakan tadi. Pun begitu, pengurangan harga ini juga melibatkan pengurangan dari segi perkakasannya juga.
Model ini mempunyai skrin melengkung LTPO 6.73-inci beresolusi 1,224 x 2,688 piksel, kadar penyegaran semula skrin 120Hz, warna gamut DCI-P3 dan kecerahan puncak sehingga 1,600 nits.
Ia juga menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 dengan RAM LPDDR5X 12GB dan storan UFS 3.1 256GB. Telefon pintar dengan Magic OS 7.1 (Android 13) juga mempunyai tri kamera yang terdiri daripada 54MP F/1.9, kamera ultra lebar 50MP dan telefoto 32MP dengan zum optikal 2.5X. Pada sebelah hadapan pula disediakan kamera 12MP.
Untuk kapasiti baterinya ia mempunyai kapasiti 5,100mAh dengan sokongan pengecasan berwayar pantas. Ia dijual pada harga RM3,499 dengan cenderahati percuma bernilai RM700.













