POCO secara rasminya akan melancarkan telefon pintar baharu siri X5 5G ke pasaran global selepas desas-desus mengenainya sudah mula kedengaran sejak beberapa minggu yang lepas.
Dua buah model dijangka akan memasuki ke pasaran Malaysia kelak melalui POCO X5 Pro 5G dan POCO X5 5G. Dari segi reka bentuk luarannya, ia mirip dengan model POCO X4 GT yang dilancarkan pada tahun lepas.
POCO X5 Pro 5G dan POCO X5 5G akan dilengkapkan dengan skrin AMOLED FHD+ 6.67-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz, dan kadar pensampelan sentuhan 240Hz. Bagi model Pro, ia dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass 5, manakala model standard pula menggunakan Corning Gorilla Glass 3 sebagai perlindungan skrinnya.
Pemprosesan bagi model Pro juga berbeza melalui penggunaan Qualcomm Snapdragon 778G berbanding model X5 5G standard yang menggunakan Snapdragon 695. Sungguhpun kapasiti bateri kedua-duanya adalah sama iaitu 5,000mAh, keupayaan pengecasannya berbeza dengan Pro mampu menyokong sehingga 67W, manakala jenis standard pula sekadar 33W sahaja.
Sudut fotografinya juga berbeza dengan POCO X5 Pro 5G menampilkan kamera utama 108MP berbanding X5 5G yang menjadikan sensor 48MP sebagai kamera utamanya. Kedua-duanya bagaimanapun menawarkan kamera sekunder yang sama melalui kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Untuk swafoto pula, X5 Pro 5G menggunakan kamera 16MP, dengan X5 5G pula menggunakan kamera 13MP.
Menariknya, POCO menggunakan dua platform jualan dalam talian berlainan di Mlaaysia bagi memulakan jualannya dari 9 hingga 15 Februari ini. X5 Pro 5G hanya ditawarkan di Lazada, manakala model standard X5 5G pula hanya dijual di Shopee sepanjang tempoh tersebut. Pun begitu, kedua-duanya akan mula dijual secara rasmi di POCO Official Store di kedua-dua platform tersebut bermula dari 16 Februari.
Harga POCO X5 Pro 5G dan POCO X5 5G di Malaysia
Harga bagi POCO X5 Pro 5G dengan RAM 6GB dan storan 128GB dijual pada harga RM1,299 dan untuk spesifikasinya yang lebih tinggi, 8GB + 256GB pula berharga RM1,499. Boleh didapati dengan pilihan warna, Black, Blue dan Yellow, telefon pintar ini boleh didapatkan pada harga yang lebih rendah iaitu masing-masing RM1,199 dan RM1,399 sehingga 15 Februari 2023.
Untuk model POCO X5 5G standard pula yang boleh didapti dengan pilihan warna Green, Blue dan Black, pilihan konfigurasi 6GB + 128GB boleh didapati pada harga RM1,099. Spesifkasinya yang lebih tinggi pula berharga RM1,199 untuk konfigurasi 8GB + 256GB. Sama seperti model Pro, model ini juga ditawarkan pada harga istimewa dalam tempoh promosi pengenalannya pada harga masing-masing RM999 dan RM1,099 mengikut spesifikasi.













