Dilancarkan bersama-sama POCO F4, sebuah lagi telefon pintar POCO X4 GT turut dilancarkan secara rasminya ke pasaran Malaysia semalam. Berbeza dengan POCO F4, X4 GT dilengkapkan dengan cipset MediaTek Dimensity 8100 berkeupayaan 5G, dengan paparan yang lebih kecil serta bateri berkapasiti 5,080mAh.
POCO X4 GT menampilkan paparan LCD 6.6-inci beresolusi FHD+ dengan kadar penyegaran semula 144Hz. Paparan ini juga hadir dengan kadar pensampelan sentuhan 270Hz, sokongan Dolby Vision serta perlindungan Corning Gorilla Glass 5.
Ia juga menampilkan pembesar suara yang diperkayakan dengan Dolby Atmos, pengimbas cap jari pada sebelah sisi, port USB-C pada sebelah bawah dan juga bicu audio 3.5mm pada bahagian atas. Terdapat tiga pilihan warna yang ditawarkan bagi telefon pintar ini iaitu hitam, biru dan perak.
Spesifikasi telefon pintar ini pula hadir dengan menawarkan cipset Dimensity 8100 5nm bersama-sama GPU Mali-G610 MC6, RAM LPDDR5 8GB dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB.
Bagi memastikan suhunya kekal rendah ketika menjalankan tugasan-tugasan berat, telefon pintar ini memiliki sistem penyejukan terbina dalam LiquidCool Technology 2.0 yang menampilkan ruang pengewapan yang besar dan tujuh lapisan grafit. Selain itu, telefon ini juga hadir dengan sokongan ketersambungan NFC, WiFi 6 dan Bluetooth 5.3.
POCO X4 GT dikuasakan oleh bateri berkapasiti 5,080mAh yang menampilkan sokongan pengecasan sehingga 67W. Menurut POCO, bateri telefon ini mampu mencapai ke paras 25% dalam tempoh pengecasan 6 minit sahaja dan mengambil masa sehingga 46 untuk mengecaskannya sehingga penuh.
Untuk pengimejannya pula, telefon pintar ini menyediakan tetapan tri-kamera yang mengandungi satu kamera utama 64MP, kamera ultra lebar 8MP, dan kamera makro 2MP. Pada bahagian hadapannya pula disediakan sebuah kamera 16MP yang boleh digunakan bagi tujuan persidangan video atau swafoto.
Harga POCO X4 GT
POCO X4 GT akan hadir ke pasaran Malaysia sedikit lewat dari POCO F4 iaitu pada 30 Jun 2022. Telefon pintar ini akan hadir secara eksklusif di kedai rasminya di Lazada dengan harga diskaun RM1,399 untuk pilihan variasi RAM 8GB dan storan 128GB. Untuk varian RAM 8GB dan storan 256GB pula harga eksklusif pada hari pelancarannya adalah RM1,499.
Harga pada hari biasa bagi POCO X4 GT adalah RM1,499 bagi variasi RAM 8GB dan storan 128GB, manakala variasi RAM 8GB dan storan 256GB pula harganya adalah RM1,599.













