Poco akan melancarkan M4 Pro 5G pada minggu hadapan. Telefon pintar ini bakal menjadi telefon 5G berharga bajet baharu yang berkesinambungan dari Poco M3 Pro 5G.

Menjelang pelancarannya, Poco turut mengeluarkan beberapa iklan acah dalam bentuk imej yang memberikan gambaran tentang spesifikasinya.

Salah satu iklan acah tersebut menunjukkan sebuah foto suasana di dalam stesen keretapi bawah tanah. Menerusinya, diselitkan maklumat yang menunjukkan cipset yang digunakannya, ‘6nm’.

Ia membayangkan, Poco M4 Pro 5G akan menggunakan cipset 6nm, MediaTek Dimensity 810. Sebagai perbandingan, Poco M3 Pro 5G menggunakan Dimensity 700 dengan teknologi pembuatan 7nm.

Pada iklan acah lain, Poco membayangkan telefon baharu ini akan menyediakan sokongan “pengecasan pantas Pro” sehingga 33W. Ini merupakan peningkatan dari Poco M3 Pro 5G yang hadir dengan sokongan pengecasan 18W.

Poco M4 Pro 5G akan dilancarkan pada 9 November jam 8 malam waktu Malaysia dan boleh diikuti menerusi laman rasmi Poco di Facebook, YouTube, dan Twitter.

Telefon Poco baharu ini juga dikatakan merupakan telefon Redmi Note 11 yang dijenamakan semula.

Berdasarkan spesifikasi Redmi Note 11 ketika pelancarannya di China baru-baru ini, telefon tersebut menampilkan paparan IPS Full HD+ 6.6-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz.

Untuk cipset, ia menggunakan MediaTek Dimensity 810. Tidak ketinggalan, dwi-kameranya menyediakan sebuah sensor 50MP dan ultra lebar 8MP. Bersama-sama bateri berkapasiti 5,000mAh, telefon tersebut juga menyokong pengecasan pantas 33W melalui port USB-C.

Tinggalkan komentar