POCO secara rasminya telah melancarkan model telefon pintar baharu di dalam siri POCO F8, untuk pasaran global dan Malaysia hari ini. Siri ini memperkenalkan dua model utama iaitu F8 Pro dan F8 Ultra, yang hadir dengan pelbagai penambahbaikan spesifikasi berbanding generasi terdahulu.
Telefon pintar ini kini boleh didapati di pasaran tempatan dengan harga permulaan RM2,499, lengkap dengan tawaran promosi awal yang menarik.
Siri POCO F8 kali ini memberikan fokus yang mendalam terhadap prestasi audio dan visual. Model F8 Pro dilengkapkan dengan skrin AMOLED 6.59 inci beresolusi 2,510 x 1,156 piksel, manakala varian F8 Ultra hadir dengan paparan AMOLED 6.9 inci yang lebih besar dengan resolusi 2,608 x 1,200 piksel.
Kedua-dua peranti menawarkan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 3,500 nits, serta perlindungan kalis air dan debu IP68.
Di dalamnya, F8 Pro dijana oleh cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Manakala model Ultra diperkasakan oleh cip mercu terkini, Snapdragon 8 Elite Gen 5.
Kedua-dua model ini menjalankan sistem operasi Xiaomi HyperOS 3 terus dari kotak. Salah satu ciri paling unik pada model Ultra adalah sistem audio stereo Bose yang merangkumi susunan dwi-pembesar suara serta subwoofer di bahagian belakang untuk pengalaman bunyi yang lebih mendalam.
Menurut kenyataan jenama tersebut mengenai sistem audio pada model Ultra, Seni bina saluran 2.1 ini menawarkan bass yang kaya, bunyi yang terperinci, dan pentas bunyi (soundstage) yang imersif.
Berikut adalah spesifikasi ringkas dan harga pasaran Malaysia bagi kedua-dua model:
Spesifikasi Utama POCO F8 Pro

- Paparan: 6.59-inci AMOLED, 120Hz.
- Kamera: 50MP Utama (OIS), 50MP Telefoto (2.5x zum optikal), 8MP Ultra-lebar, 20MP Swafoto.
- Bateri: 6,210mAh dengan pengecasan pantas 100W.
- Harga (12GB+256GB): RM2,499 (Harga Promosi: RM2,199).
- Harga (12GB+512GB): RM2,699 (Harga Promosi: RM2,499).
Spesifikasi Utama POCO F8 Ultra

- Paparan: 6.9-inci AMOLED, 120Hz.
- Kamera: 50MP Utama (OIS), 50MP Periskop Telefoto (5x zum optikal), 50MP Ultra-lebar, 32MP Swafoto.
- Bateri: 6,500mAh dengan pengecasan pantas 100W dan pengecasan tanpa wayar 50W.
- Harga varian 12GB+256GB: RM3,199 (Harga Promosi: RM2,799).
- Harga varian 16GB+512GB: RM3,599 (Harga Promosi: RM3,199).
Siri POCO F8 kini boleh didapati menerusi kedai dalam talian Mi serta kedai rasmi di platform e-dagang utama. Sempena pelancaran ini, POCO menawarkan promosi harga istimewa sehingga 18 Disember 2025.
Selain diskaun harga, pembeli bagi mana-mana model siri F8 dalam tempoh ini juga layak menerima tablet Redmi Pad SE 8.7 yang bernilai RM499 secara percuma.













