PLUS Malaysia telah memulakan projek rintis pembayaran tol berasaskan Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) yang membolehkan pengguna menikmati “kebebasan lorong” buat kali pertama di Malaysia.
Inisiatif ini terbuka kepada kenderaan persendirian ringan (Kelas 1). Ia melibatkan jajaran lebuhraya dari Hutan Kampung ke Sungai Dua. Usaha ini juga merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) pada masa hadapan.
Melalui projek rintis ini, pengguna berdaftar tidak lagi terhad kepada lorong tol tertentu, sebaliknya mereka bebas memasuki dan keluar melalui mana-mana lorong di sembilan plaza tol yang terlibat.
Plaza tol PLUS sedia ANPR
Jajaran sepanjang 87.7km ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan di bahagian Utara serta meminimumkan risiko kemalangan akibat penukaran lorong di saat-saat akhir.
Sembilan plaza tol yang terlibat adalah:
- Hutan Kampung
- Alor Setar Utara
- Alor Setar Selatan
- Pendang
- Gurun
- Sungai Petani Utara
- Sungai Petani Selatan
- Bertam
- Sungai Dua
Sistem ini berfungsi menggunakan kamera ANPR di plaza tol yang menangkap imej nombor pendaftaran kenderaan untuk memproses bayaran secara automatik melalui platform pembayaran mudah alih.
Menurut PLUS, sistem ini disokong oleh kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin yang membolehkannya mengecam kenderaan dalam pelbagai keadaan cuaca, kelajuan, dan sudut kamera, malah ketepatan sistem akan bertambah baik dari semasa ke semasa.
Berbeza dengan RFID atau SmartTAG, tiada peranti tambahan diperlukan dan pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO Malaysia untuk mendaftar serta memautkan kad debit atau kredit mereka sebagai mod pembayaran.
Menurut PLUS, aplikasi JustGO berfungsi sebagai platform pembayaran tol digital terbuka yang bertujuan untuk dimiliki bersama oleh industri lebuhraya.
Pendekatan ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menawarkan pilihan pembayaran tol yang lebih fleksibel kepada pengguna jalan raya, dengan kaedah pembayaran tambahan seperti e-Dompet dan perbankan dalam talian akan ditambah pada bulan-bulan akan datang.
Bagi pengguna yang tidak menyertai rintis ini, pilihan pembayaran sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTAG, dan RFID masih boleh digunakan seperti biasa di lorong-lorong tersebut.
Apa itu Projek Rintis ANPR
- Akses Tanpa Had: Boleh menggunakan mana-mana lorong tol di 9 plaza terlibat.
- Teknologi AI: Pengecaman plat nombor yang disokong AI dan pembelajaran mesin.
- Tanpa Peranti: Tidak memerlukan tag fizikal, hanya pendaftaran melalui aplikasi JustGO.
- Pembayaran Terbuka: Menggunakan kad debit atau kredit yang pautkan dalam aplikasi.
PLUS telah menjalankan ujian sistem ANPR secara meluas sejak September 2024 dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia, dan hasilnya menunjukkan pengesanan kenderaan yang lebih pantas berbanding sistem sedia ada.
Walau bagaimanapun, palang tol masih dikekalkan semasa tempoh rintis ini dan pengguna dinasihatkan untuk mengekalkan kelajuan antara 20 hingga 25 km/j apabila melalui plaza tol.













