Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh pencalonan dan membuang undi untuk enam pilihan raya negeri yang akan diadakan di Selangor, Penang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Untuk anda yang layak mengundi di dalam pilihan raya negeri yang akan datang ini, anda mungkin perlu mengeatahui beberapa maklumat penting sebelum menunaikan tanggungjawab anda.
Menurut SPR, tarikh penamaan calon akan dijalankan pada Sabtu, 29 Julai 2023. Undian awal bermula pada Selasa, 8 Ogos 2023 dengan tarikh membuang undi dijadualkan pada Sabtu, 12 Ogos 2023.
TERKINI PRN | Berikut adalah tarikh-tarikh penting dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri seperti yang diumumkan Tan Sri Abdul Ghani Salleh, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu, 5 Julai 2023.#BuletinTV3 #prn #PilihanRayaNegeri #SPR pic.twitter.com/yE29y91cVu
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 5, 2023
Sejak tahun lalu, kesemua rakyat Malaysia yang layak akan didaftarkan secara automatik di dalam senarai mengundi. Anda yang berusia 18 tahun dan ke atas boleh mengundi di negeri-negeri yang akan menjalankan pilihan raya negeri kelak.
Cara semak lokasi mengundi anda untuk Pilihan Raya Negeri?
Semakan status pengundi seperti lokasi mengundi boleh dibuat menerusi laman web MySPR Semak dan pergi ke “Semakan Daftar Pemilih”. Seterusnya masukkan nombor kad pengenalan anda tanpa sempang dan kod CAPTCHA. Kawasan mengundi untuk pilihan raya negeri akan menunjukkan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sama seperti pilihan raya umum yang lepas, laman web MySPR Semak juga dijangka akan menyediakan maklumat berkenaan lokasi mengundi dan juga cadangan waktu yang sesuai untuk membuang undi menjelang tarikh pilihan raya. Laman web berkenaan juga akan dikemaskini dengan senarai calon apabila tarikh pilihan raya negeri tersebut semakin dekat.
Anda juga boleh membuat semakan dengan memuat turun aplikasi rasmi MySPR Semak melalui Apple Appstore, Google Playstore dan Huawei AppGallery.











