Samsung Galaxy Note 10 dijadualkan bakal dilancarkan pada 7 Ogos ini dan Samsung telah pun memulakan proses pengeluaran telefon pintar mercunya ini. Walaubagaimanapun, perang perdagangan di antara Korea Selatan dan Jepun telah menimbulkan kesan yang tidak diingini. Laporan terbaru mendakwa pengeluaran Galaxy Note 10 terjejas akibat dari isu ini.
Lanjutan dari bantahan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Korea Selatan yang meminta kerajaan Jepun membayar pampasan terhadap mangsa buruh paksa ketika Perang Dunia Kedua dahulu, Jepun telah mengenakan sekatan ekonomi terhadap Korea Selatan. Sasaran utama adalah bahan mentah untuk menghasilkan semikonduktor dan paparan peranti mudah alih. Samsung bergantung dengan 90 peratus import dari Jepun untuk menghasilkan barangan berkenaan.
Media Korea Selatan, JTBC memetik kenyataan wakil Samsung bahawa Samsung telah mengurangkan sasaran pengeluaran Exynos sebanyak 10 peratus pada bulan ini. Cipset Exynos merupakan cipset yang digunakan untuk menguasakan Note 10. Pihak Samsung bagaimanapun enggan mengesahkan laporan gangguan pengeluaran tersebut.
Jepun telah menguatkuasakan larangan mengeksport material penghasilan semikonduktor dan paparan peranti mudah alih seperti polyimida berflorin dan hidrogen fluorida sebagai bantahan terhadap Korea Selatan. Syarikat-syarikat Jepun yang mengeksport produk-produk berkenaan ke Korea Selatan perlu mendapatkan kelulusan dari kerajaan yang memerlukan tempoh sehingga 90 hari untuk diproses.
Penyelesaian kepada masalah ini mungkin memakan masa yang lebih panjang selagi kedua-dua kerajaan enggan berkompromi di dalam isu ini.
Sumber berita diperoleh dari GSM Arena













