Razer telah menghasilkan pelitup muka keluarannya untuk dijual kepada orang ramai setelah pada asalnya dihasilkan bagi kegunaan kakitangannya. Pelitup muka ini bukanlah jenis yang sama dengan pelitup muka pakai buang yang diagihkan oleh Razer di Malaysia melalui 7-Eleven.
Dihasilkan dari material kapas organik antibakteria dwi lapisan yang mudah bernafas, Ketua Pegawai Eksekutif Razer Min-Liang Tan menyatakan Razer Cloth Mask mempunyai kecekapan tapisan bakteria sehingga 95%.
Beliau turut memaklumkan pelitup muka ini boleh dibasuh sehingga 30 kali untuk penggunaan.
Pengguna boleh memilih Razer Cloth Mask dengan dua piliuhan warna sama ada hijau atau hitam. Apa jua pilihan, kedua-dua warna pelitup muka ini menampilkan logo rasmi Razer pada bahagian hadapannya.
Pada harga RM139 di Gedung Razer rantau Asia Pasifik, Razer Cloth Mask telah habis dijual dalam tempoh beberapa jam sahaja. Min-Liang Tan memaklumkan pihaknya merancang untuk mengeluarkan lagi kelompok baharu pelitup muka ini dalam masa terdekat.













