KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2025 Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), rangkaian pembayaran nasional Malaysia, dan Ant International, peneraju global dalam pembayaran digital, pendigitalan dan teknologi kewangan, telah memperluas kerjasama mereka melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baharu. MoU ini telah ditandatangani semasa acara fintech terkemuka Malaysia, MyFintech Week 2025, dan disaksikan oleh Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia. 

Kerjasama yang diperbaharui ini memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu memacu sektor pelancongan melalui pembayaran digital rentas sempadan, memperkukuh sistem keselamatan terhadap penipuan, pembangunan bakat, serta memperkasakan agenda kelestarian. MoU ini menandakan satu pencapaian dalam usaha merealisasikan penerimaan global bagi standard QR kebangsaan Malaysia, DuitNow QR, melalui Alipay+ yang dikendalikan oleh Ant International.

Pengembara Malaysia bakal menikmati kemudahan menggunakan e-dompet atau aplikasi perbankan tempatan mereka di ekosistem global Alipay+ yang merangkumi 100 juta peniaga. Hubungan rentas sempadan ini memperluas capaian DuitNow QR ke peringkat antarabangsa, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia membuat pembayaran dengan lebih mudah dan lancar menggunakan aplikasi pilihan mereka ketika berada di luar negara. 

Douglas Feagin, Presiden Ant International, berkata, “Ant International berbesar hati kerana dapat menyumbang kepada perjalanan inovasi dan pertumbuhan Malaysia selama lebih sedekad, didorong oleh agenda ekonomi digital negara yang berpandangan jauh serta sokongan daripada peneraju industri seperti PayNet. Kami komited untuk terus memperkukuh pelaburan dan kerjasama kami di Malaysia, bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai hab fintech utama di Asia Tenggara, sekali gus memacu pertumbuhan inklusif di rantau ini serta di peringkat global dengan inovasi dan keusahawanan bertaraf dunia.”

Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Farhan Ahmad, menegaskan, “Ant International ialah peneraju global dalam bidang pembayaran, dan fasa baharu kerjasama ini mencerminkan kekuatan infrastruktur pembayaran serta keupayaan Malaysia untuk berkembang di peringkat antarabangsa. Usaha sama ini bukan sahaja akan memperluas penerimaan global terhadap DuitNow, malah membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat dalam menangani isu penipuan, melahirkan bakat masa depan, dan membina ekosistem pembayaran digital global yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan – demi manfaat rakyat Malaysia di dalam dan luar negara, serta pelancong yang berkunjung ke sini.”

Kerjasama yang diperluaskan ini dibina atas kejayaan MoU terdahulu yang ditandatangani pada Ogos 2023. MoU tersebut membolehkan pembayaran Alipay+ diterima di Malaysia melalui DuitNow QR. Kini, Alipay+ membolehkan pengguna daripada 15 rakan pembayaran antarabangsa mengimbas dan membayar di lebih 2.6 juta peniaga DuitNow QR di seluruh Malaysia.

Kemudahan pembayaran ini menjadikan Malaysia destinasi yang lebih menarik kepada pelancong, sekali gus menggalakkan perbelanjaan terus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, yang memainkan peranan penting dalam ekonomi negara. Untuk membantu Malaysia mencapai sasaran nasional 45 juta pelancong menjelang Visit Malaysia 2026, Ant International dan PayNet akan mempergiatkan kempen global bagi merancakkan sektor pelancongan serta membuka peluang lebih luas kepada PKS tempatan dengan menembusi pasaran pelancong.

Dalam usaha memperkukuh perlindungan terhadap penipuan rentas sempadan, Ant International dan PayNet akan berganding bahu dalam pembangunan teknologi keselamatan canggih, perkongsian risikan ancaman, serta pelaksanaan audit risiko penipuan. Usaha ini akan memanfaatkan teknologi pertahanan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh Ant International.

Kedua-dua syarikat ini juga turut mempergiat usaha dalam pembangunan bakat fintech untuk menyokong pertumbuhan ekosistem pembayaran digital. Inisiatif bersama ini telah menyaksikan pelancaran PayHack, hackathon antara varsiti terbesar di Malaysia yang menjadi platform untuk pelajar berkongsi idea, menyelesaikan cabaran, membina rangkaian, dan menerima bimbingan daripada pemimpin industri.

Menerusi Pusat Perniagaan Digital di Kuala Lumpur serta inisiatif seperti 10×1000 Tech for Inclusion, Ant International akan terus bekerjasama dengan PayNet dan rakan strategik tempatan, termasuk Persatuan Fintech Malaysia untuk melahirkan bakat fintech masa hadapan untuk negara.

Sebagai pelengkap kepada inisiatif sedia ada, Ant International dan PayNet juga akan memulakan program bersama bagi meningkatkan kesedaran serta penerimaan terhadap inisiatif kelestarian dan impak sosial dalam ekosistem pembayaran mudah alih, termasuk dalam aspek penyertaan PKS dan kebolehcapaian teknologi. Usaha ini akan dibangunkan berasaskan inisiatif ESG tempatan untuk memberi manfaat kepada ekosistem pembayaran yang lebih meluas.

Dengan sokongan infrastruktur yang dipercayai daripada PayNet dan jaringan global Ant International, MoU yang diperluas ini membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati pengalaman pembayaran yang lancar ketika berada di luar negara sambil menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan. Melalui usaha memperkukuh kesalinghubungan rentas sempadan, pembangunan bakat masa depan, peningkatan keselamatan digital dan galakan terhadap inovasi yang inklusif, kerjasama ini membentuk asas kukuh ke arah ekonomi digital global yang inklusif dan bersedia menghadapi masa depan.

Tinggalkan komentar