Penerbit filem box-office BoBoiBoy dan Mechamato, MONSTA bersama Astro Shaw, bakal menayangkan filem animasi terbaru mereka, Papa Zola The Movie.
Filem ini akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai 11 Disember 2025, diikuti oleh Singapura pada minggu yang sama. Buat pertama kalinya, watak adiwira ‘kebenaran’ Papa Zola diangkat sebagai teraju utama, memaparkan kisah asal-usulnya yang tidak pernah didedahkan melalui penceritaan yang segar, penuh aksi dan drama emosi untuk tontonan seisi keluarga.
Filem ini menandakan satu anjakan baharu bagi MONSTA dengan menampilkan watak dewasa sebagai watak utama, berbeza daripada karya mereka sebelum ini.
Berlatarkan lokasi ikonik di Kuala Lumpur, Papa Zola The Movie menjanjikan kualiti visual yang lebih memukau dan sinematik hasil penggunaan teknologi animasi terkini seperti crowd simulation, hair system, dan simulasi air serta letupan yang telah diperhalusi.
Jalan ceritanya juga direka agar mudah dinikmati oleh semua lapisan penonton, termasuk mereka yang tidak pernah mengikuti siri BoBoiBoy.
Menurut Pengarah, Penulis dan Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, “Ini merupakan kali pertama MONSTA menampilkan watak dewasa sebagai watak utama. Jalan cerita Papa Zola The Movie bertemakan kehidupan harian dan disulam dengan aksi mendebarkan, drama serta emosi. Filem ini sesuai ditonton oleh semua generasi dan peringkat umur.”
Beliau menambah, “Dari aspek teknikal, kami memperhalusi teknik animasi… Saya percaya penggunaan teknologi animasi ini dapat meningkatkan lagi pengalaman menonton Papa Zola The Movie di layar perak.”
Sementara itu, Penerbit Eksekutif filem ini yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Astro Shaw komited memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan ekosistem animasi negara yang kini menunjukkan evolusi ketara. Papa Zola The Movie bukan sekadar naskhah animasi untuk segmen tertentu, tetapi mempunyai penceritaan dan kualiti produksi yang boleh dinikmati oleh semua peringkat umur.”
Tiket filem ini mula dijual sejak 22 November lalu dan mendapat sambutan hangat, menyebabkan tayangan awal tambahan dibuka mulai 9 Disember untuk memenuhi permintaan peminat.
Fenomena ‘kebenaran’ ini turut diperluaskan melalui pelbagai aktiviti promosi termasuk larian ‘Kebena-RUN 2025’, siri jelajah maskot, serta penjualan barangan rasmi eksklusif seperti figura aksi, buku cerita, dan kad permainan.













