Telegram telah memperluaskan ciri panggilan video berkumpulannya dengan meningkatkan lagi bilangan penglibatan pengguna-pengguna di dalam sesebuah sesi. Fungsi yang pertama kali telah diperkenalkan pada Jun lalu ini telah menambah had bilangan penonton kepada 1,000 orang.

Bagaimanapun, had pengguna yang boleh menayangkan video dari kamera atau skrin peranti masing-masing masih lagi kekal pada 30 orang sahaja. Ini bermakna dalam satu-satu masa yang dihadiri 1,000 orang pengguna, 30 orang sahaja yang boleh berkongsikan paparan, manakala baki selebihnya 970 lagi boleh menonton dan mengikuti sahaja.

Ketika pertama kali memperkenalkan fungsi ini, Telegram menyatakan pihaknya sentiasa merancang untuk menambahkan lagi bilangan pengguna yang boleh menyertai panggilan video dan suara berkumpulan bagi menyokong acara siaran langsung.

Selain itu, Telegram juga mengemaskini fungsi permesejan videonya bagi menyokong tontonan beresolusi lebih tinggi. Pengguna juga kini boleh berkongsikan paparan masing-masing bersama-sama suara ketika panggilan video bsecara berdua. Mesej video berkenaan juga boleh disetkan untuk auto-padam selepas sebulan berbanding sehari atau seminggu sebelum ini.

Fungsi suntingan media di dalam Telegram juga telah dikemaskini dengan menyertakan lebar berus yang lebih kecil apabila di zum kan. Ini seterusnya membolehkan garis yang lebih halus dapat dilukis pada foto atau video.

Lain-lain fungsi yang disertakan termasuklah pilihan reset kata laluan yang lebih banyak dan emoji beranimasi. Untuk aplikasi versi Android, versi terkini menyertakan sokongan kelajuan main semula 0.5x, 1.5x dan 2x dan juga animasi penghantaran baharu.

Bagi pengguna versi iOS pula akan mempunyai akses ke kamera dalam aplikasi baharu yang boleh menggunakan semua tahap zum peranti. Turut disediakan keupayaan memanjangkan mesej ke berbilang penerima.

Tinggalkan komentar