Dua tahun sudah berlalu sejak siri Galaxy Note pergi meninggalkan kita. Hakikatnya legasi siri tersebut diteruskan melalui Galaxy S22 Ultra dan kini pada Galaxy S23 Ultra pula. Anda yang gemar mencoretkan catatan menggunakan S Pen pada siri Galaxy mungkin boleh tersenyum gembira dengan kehadiran Galaxy S23 Ultra.
Baru-baru ini kami telah menerima sebuah unit untuk ulasan Samsung Galaxy S23 Ultra. Sebelum pergi dengan lebih lanjut berkenaan spesifikasinya, kita akan melihat sepintas lalu penawaran terkini Samsung untuk telefon pintar mercu keluarannya bagi tahun 2023.
Samsung Galaxy S23 Ultra hadir dengan kotak yang hampir sama seperti yang ditawarkan pada keluaran pada tahun lalu. Kecuali pada tahun ini, kotak berkenaan akan menunjukkan gambar telefon pintar tersebut berbanding simbol yang mewakilinya. Sebagaimana yang dijangkakan, kotak yang lebih nipis ini disebabkan oleh ketiadaan pengecas yang disertakan bersama-sama telefon pintar ini.
Berikut adalah isi kandungan yang terdapat di dalam kotak pembungkusan Samsung Galaxy S23 Ultra:
- Kabel USB-C to USB-C
- Pin penolak SIM
- Panduan segera (Quick Start Guide)
- Panduan rantau (Regional Lock Guide)
- Helaian Samsung Pay
- Kad waranti
- Telefon pintar Samsung Galaxy S23 Ultra
Sekilas pandang
Pelbagai pilihan warna ditawarkan bagi Samsung Galaxy S23 Ultra dengan empat warna biasa dan empat lagi pilihan warna eksklusif. Empat warna yang dimaksudkan terdiri daripada warna Phantom Black, Green, Lavender dan Cream, manakala warna eksklusif khusus pembelian dalam talian pula hadir dengan pilihan Graphite, Sky Blue, Lime dan Red.
Permukaan belakangnya hadir dengan kemasan matte yang amat baik kerana dapat mengurangkan kesan cap jari selain menaikkan lagi seri pada reka bentuknya. Sama seperti rekaan Ultra pada tahun lepas, kamera-kamera belakangnya membonjol keluar pada permukaannya.
Keadaan ini mengakibatkan telefon pintar ini ber’jongkang-jongkit’ apabila menggunakannya di atas permukaan meja terutama apabila menulis atua melukis menggunakan S Pen. Pun begitu, ia dapat diatasi melalui penggunaan aksesori ‘cover’ yang bersesuaian, mengimbangkan bonjolan kamera-kamera pada bahagian belakangnya.
Pada sebelah hadapannya pula disediakan skrin Dynamic AMOLED 2X QHD+ 6.8-inci dengan kadar penyegaran semula adaptif dari 1Hz hingga 120Hz. Kamera hadapannya pula ditempatkan pada bahagian berpenebuk lubang di sebelah atas.
Sekali imbas, ia kelihatan mirip dengan Galaxy S22 Ultra. Namun, apabila anda mula memegangnya, anda akan segera merasakan perbezaannya. Hal ini kerana bucu Galaxy S23 Ultra lebih rata berbanding bucu model sebelumnya yang lebih membulat. Justeru, dapat mengurangkan kesan menyentuh bucu skrin secara tidak sengaja.
Pemprosesan yang digunakannya juga naik setahap lagi dari keluaran tahun lepas. Kali ini menggunakan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy, pemprosesan dari Qualcomm khusus untuk peranti Samsung Galaxy.
Apa yang membezakan varian pemprosesan ini dengan Snapdragon 8 Gen 2 yang lain adalah pada prestasi CPU dan GPU yang dipertingkatkan. Khusus untuk siri Galaxy S23 ini, teras CPU Kryo padanya telah dilewahjam kepada 3.36GHz berbanding asalnya pada 3.2GHz. Untuk teras GPU Adreno pula, ia telah ditingkatkan dari 680MHz kepada 719MHz.
Sejauh mana peningkatan prestasi ini dapat diterjemahkan kepada keadaan sebenar, kita akan ketahuinya dengan lebih lanjut menerusi ulasan terperinci yang akan kami terbitkan dalam masa terdekat ini.
Maklumat lanjut mengenai pra-tempahan Samsung Galaxy S23 Ultra, S23 Plus dan Galaxy S23, layari laman web rasmi Samsung Malaysia.
Spesifikasi Samsung Galaxy S23 Ultra
- Model: Samsung Galaxy S23 Ultra
- Cipset: Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 Mobile Platform for Galaxy
- Skrin: AMOLED dengan bucu melengkung 6.8″ QHD+, kadar penyegaran semula 1~120Hz dan kadar pensampelan semula 240Hz
- RAM: 12GB
- Storan: 256GB, 512GB, or 1TB
- Bateri: 5,000mAh
- Port: USB-C, ruangan menyimpan S Pen
- Sistem operasi: One UI 5.1 berasaskan Android 13
- Kamera depan: 12MP f/2,2
- Kamera belakang: utama 200MP f/1.7 OIS, lebar 12MP f/2.2 (120°), teleskopik 10MP f/2.4 OIS zum (3x), teleskopik 10MP f/4.9 OIS zum (10x)
- Ketersambungan: 4G, 5G, UWB, Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3, NFC
- Ukuran: 163.3 × 78 × 8.9mm
- Warna: Phantom Black, Cream, Green, Lavender; Eksklusif dalam talian di Samsung.com Lime, Graphite, Sky Blue, Red
- Berat: 234g
- Pengecasan: 45W wired (Quick Charge 2.0, Samsung Adaptive Fast Charging), 15W wireless (Fast Wireless Charging 2.0, WPC), Wireless PowerShare
- Penarafan IP: IP68
- Harga: Dari RM5,699
- Sokongan kad mikro-SD: Tiada
- Jenis stylus: Aktif
- Ciri keselamatan: Cap jari (Ultrasonik, bawah-paparan), Pengecaman wajah













