Panasonic telah membangunkan bateri lithium-ion boleh lentur bagi kegunaan peranti boleh pakai. Sungguhpun bateri ini mempunyai sifat kelenturan yang tinggi, ia masih lagi mampu mengekalkan sifat elektrikalnya bagi membekalkan voltan.

Penghasilan bateri ini mampu memberikan kebebasan buat pereka bentuk peranti boleh-pakai. Ia disebabkan selama ini para pereka seringkali buntu menentukan bahagian tidak boleh dilentur untuk menempatkan bateri dan sebahagian komponen elektronik pada rekaan.

Tiga prototaip bateri ini dipamerkan sempena pameran elektronik CES yang berlangsung minggu ini di Las Vegas. Paling besar memiliki dimensi 40 mm x 65 mm. Untuk sederhana, 35mm x 55mm dan yang paling kecil, 28.5mm x 39mm.

Ketiga-tiganya memiliki ketebalan hanya 0.45mm. Lebih nipis dari kad ATM biasa yang berketebalan 0.76mm. Bateri ini boleh dilenturkan sehingga mencapai 25mm radius dan boleh diputarkan sehingga mencapai sudut 25 darjah. Berkeupayaan menghasilkan output pada 3.8 volts, bateri ini mempunyai berat hanya sekitar 1 hingga 2 gram sahaja.

Pada dimensi yang sekecil ini, bateri berkenaan dijangka mampu dibenamkan ke dalam kad-kad bersaiz kad kredit atau peranti-peranti boleh-pakai lain.

Komponen elektronik seperti bateri buat masa ini tidak boleh mengalami perubahan bentuk fizikal secara ketara supaya ia dapat dioperasikan secara optimum. Bagaimanapun, untuk bateri baru yang masih lagi diperingkat pembangunan ini hanya hilang 1 peratus dari kapasitinya selepas dilenturkan sehingga 25mm.

Panasonic merupakan salah satu pengeluar bateri lithium-ion terbesar di dunia dan menghasilkan pelbagai jenis sel kering untuk kegunaan dari produk harian pengguna seperti bateri bersaiz AA sehinggalah bateri yang digunakan untuk kereta elektrik.

Sumber berita diperoleh dari IEEE Spectrum

Tinggalkan komentar