Digi telah mengumumkan penambahbaikan pelan prabayar bulanan RM 20 untuk pelajar, dengan memperluaskan had kelayakan kepada belia berumur 12 hingga 24 tahun. Lanjuutan dari itu, Digi telah menjenamakan semula pelan berkenaan kepada Pakej Khas Belia.
Bersama-sama perubahan tersebut, pelan yang diperbaharui ini juga telah menaik taraf penawaran kepada belia melalui akses tanpa had kepada dua aplikasi media sosial popular, TikTok dan Instagram. Ini merupakan penambahan kepada penawaran sedia ada yang memberikan kuota data berkelajuan tinggi 15GB sebulan dan boleh ditambah kuotanya dari RM 3 untuk 1.5GB, hingga RM 10 untuk 10GB.
Bagaimanapun, pelan prabayar akses tanpa had ke TikTok dan Instagram ini hanya dihadkan kelajuannya pada 2Mbps sahaja dan hanya ditawarkan untuk masa yang terhad.
Menurut Digi, tawaran promosi ini hanya boleh didapati untuk belia yang layak yang mendaftar untuk pakej ini dari sekarang sehingga 31 Oktober 2021.
Pelanggan sedia ada boleh melanggan ke Pakej Khas Belia Digi baharu ini melalui aplikasi mudah alih MyDigi atau dengan mendail *128#. Pelanggan baharu pula perlu mendaftarkannya sama ada secara kedai fizikal rasmi Digi, wakil jualan Digi yang sah atau laman web rasminya. Sebuah kad SIM percuma akan diberikan bagi setiap pendaftaran yang berjaya.
Maklumat lanjut mengenai Pakej Khas Belia ini boleh didapati menerusi laman web rasmi.













