OPPO mula memasuki pasaran tablet sejak Februari lalu melalui tablet pertama keluarannya, OPPO Pad. Kini, peranti pintar mudah alih terbaru tersebut bakal menerima ahli baru di dalam keluarganya menerusi OPPO Pad Air.
Tablet baharu yang diperkenalkan ini disasasrkan sebagai pilihan peranti mampu milik kepada pengguna di pasaran. Menurut OPPO, Pad Air akan menampilkan paparan beresolusi 2K dengan kadar penyegaran semula 60Hz bersama-sama empat pembesar suara.
Melalui penggunaan cipset Snapdragon 680, OPPO Pad Air hadir dengan RAM 6GB dan kapasiti storan dalaman 128GB. Tablet ini juga dilengkapkan dengan bateri 7,100mAh dengan keupayaan pengecasan pantas 18W melalui port USB-C yang disediakan.
Untuk fotografinya, OPPO Pad Air menawarkan kamera 8MP di sebelah hadapan pada bahagian bingkainya. Manakala pada bahagian belakangnya turut disediakan sebuah kamera yang tidak dinyatakan jenisnya. Menurut OPPO lagi, tablet ini juga menyokong penggunaan aksesori OPPO lain seperti pena stylus Pencil dan pelapik berintegrasi papan kekunci.
Dari segi rekaan OPPO Pad Air menampilkan rekaan yang hampir serupa dengan rekaan asalnya, namun dibezakan pada badannya yang lebih nipis dan ringan. Tablet yang menawarkan pilihan warna Fog Grey dan Star Silver ini juga dikatakan hanya berketebalan 6.94-inci.
OPPO Pad Air dijadualkan akan dilancarkan di pasaran China pada 23 Mei ini bersama-sama telefon pintar peringkat menengah terbaru OPPO Reno 8. Harga bagi tablet ini dijangka akan diumumkan pada tarikh tersebut dengan kemungkinan ia akan hadir ke pasaran di rantau lain masih lagi belum diketahui.















