OPPO telah memperkenalkan ColorOS 13 sejak Ogos lalu dan mula menawarkan versi beta untuk telefon pintar mercunya siri Find X5 pada bulan yang sama. Tempoh pengujian kini telah tamat dan OPPO telah mula menerbitkan versi stabilnya sejak dari semalam.
Versi rasmi berkenaan telah mula hadir di beberapa rantau dan negara yang terpilih. Pengguna OPPO Find X5 Pro di Malaysia telah pun menerima notifikasi pemberitahuan kemaskini ColorOS 13.
Selain Malaysia, pengguna-pengguna di Thailand, Vietnam, Indonesia, Perancis, dan Australia turut menerima notifikasi yang sama. Notifikasi berkenaan juga diterima oleh pengguna OPPO Find X5 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Perancis.
Antaramuka baharu ini berasaskan Android 13 dan OPPO mengesahkannya ketika pelancarannya empat minggu yang lalu. Ia didatangkan dengan perubahan visual melalui panel dan wijet yang lebih membulat, lebih berwarna-warni dan juga ciri Material You.
Selain itu, kesan khas beranimasi, penambahbaikan paparan sentiasa terpasang (AOD), dan kawalan Playback yang menyokong Spotify juga turut disertakan.
Perubahan kefungsian juga hadir melalui penambahbaikan privasi dan keselamatan. Antara yang diperkenalkannya termasuklah pikselisasi avatar dan nama pada tangkapan layar, serta ketersambungan rentas peranti yang lebih baik dengan laptop Windows dan tablet OPPO Air.













