Oppo sebelum ini pernah mengumumkan kehadiran Oppo A57 dengan cipset Dimensity 810 dan sokongan 5G. Kini Oppo A57 versi 4G turut diumumkan dengan menggunakan cipset MediaTek Helio G35.

Perbezaan antara kedua-dua versi ini bukan sekadar pada penggunaan jenis cipsetnya, malah model 4G ini yang menawarkan bateri 5,000mAh turut menyokong pengecasan yang lebih pantas sehingga 33W.

Bagaimanapun, kadar penyegaran semula skrin telefon pintar ini berkurangan dari 90Hz kepada 60Hz. Namun, masih lagi mengekalkan penggunaan skrin LCD 6.56-inci beresolusi HD+.

Memori dan storannya juga kurang sedikit dengan menawarkan RAM 3GB dan storan dalaman 64GB. Pun begitu, Oppo A57 4G menyokong ciri RAM maya sehingga 4GB dan slot kad mikro SD sehingga 1TB.

Oppo A57 4G kelihatan sama seperti versi 5G model ini sekilas pandang. Namun, melihatnya dengan lebih dekat akan membuatkan anda mungkin dapat melihat perbezaan pada ruangan menempatkan kameranya. Versi 4G ini juga mengetengahkan rekaan Oppo Glow.

Lain-lain ciri yang ditawarkan oleh Oppo A57 4G termasuklah pengimbas cap jari pada sisi, kamera utama 13MP, kamera berkedalaman 2MP, kamera hadapan 8MP, USB-C, bicu audio 3.5mm, penarafan IP54 dan persijilan Dirac 3.0.

Oppo A57 4G menggunakan antaramuka ColorOS 12.1 yang berasaskan Android 12 dan turut menawarkan dua pilihan warna iaitu Glowing Black dan Glowing Green. Telefon ini dilancarkan di pasaran Thailand pada harga THB5,499 (~RM700) dan tidak diketahui bilakah ia akan memasuki ke pasaran Malaysia kelak.

Tinggalkan komentar