Oppo A16 akhirnya kini telah dilancarkan secara rasminya dengan menampilkan paparan bertakuk LCD HD+ 6.52-inci yang menempatkan sebuah kamera swafoto 8MP.

Di bahagian belakangnya, telefon pintar ini menempatkan tetapan tri-kamera yang mengandungi sebuah sensor utama 13MP, sensor makro 2MP dan sensor monokrom 2MP. Telefon yang berukuran 8.4mm tebal dan seberat 190 gram ini mempunyai kemasan logam berkilat pada bahagian belakangnya.

Di dalamnya, Oppo A16 mempunyai cipset Helio G35 dengan RAM 3GB dan storan dalaman 32GB. Untuk antaramukanya, ia menggunakan ColorOS 11.1 yang berasaskan Android 11.

Melengkapkan spesifikasinya, telefon ini mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh yang boleh dicaskan melalui port USB-C. Lain-lain, Oppo A16 menyediakan pengimbas cap jari di sebelah sisi serta bicu audio 3.5mm.

Oppo A16 hadir dalam tiga warna pilihan iaitu Biru Mutiara, Perak Angkasa dan Hitam Kristal. Ia mula dijual di pasaran Indonesia dengan harga 1,999,000 Rupiah (~RM 589). Untuk pasaran Malaysia, masih belum ada lagi pengumuman rasmi berkenaan model telefon pintar ini dari Oppo Malaysia.

Tinggalkan komentar