OpenAI secara rasminya melancarkan tab khusus ‘ChatGPT Health’. Ciri baharu ini membolehkan pengguna memuat naik rekod perubatan serta menghubungkan aplikasi kesejahteraan seperti Apple Health dan MyFitnessPal secara terus kepada platform tersebut.

Tujuan ia diperkenalkan bagi menjawab pertanyaan berkaitan kesihatan dengan lebih tepat. Selain itu, ia juga memberikan ruang khusus untuk pengurusan maklumat kesihatan peribadi.

Pelancaran ini memperluaskan keupayaan ChatGPT dengan menyediakan hab sehenti bagi pengguna mengakses maklumat kesihatan.

Fungsi tersebut sebelum ini dilaporkan antara penggunaan paling popular chatbot tersebut. Menurut OpenAI, lebih daripada 230 juta pengguna di seluruh dunia mengajukan soalan berkaitan kesihatan dan kesejahteraan di platform itu setiap minggu.

Antara fungsi utama ChatGPT Health termasuk membantu pengguna memahami keputusan ujian makmal terkini, membuat persediaan untuk temu janji doktor, serta mendapatkan nasihat mengenai rutin diet dan senaman.

Selain itu, ia juga mampu menilai pilihan insurans berdasarkan corak penjagaan kesihatan individu .

Menyentuh aspek keselamatan data yang sering menjadi kegusaran utama dalam teknologi kesihatan, OpenAI memberi jaminan bahawa ruang ini beroperasi secara berasingan dengan ciri privasi yang dipertingkatkan.

Ciri-ciri utama ChatGPT Health:

  • Integrasi Aplikasi: Boleh dihubungkan dengan aplikasi pihak ketiga seperti Apple Health dan MyFitnessPal.
  • Analisis Rekod: Pengguna boleh memuat naik rekod perubatan untuk analisis dan pemahaman lanjut.
  • Khidmat Nasihat: Menyediakan panduan diet, senaman, dan persediaan konsultasi doktor.
  • Privasi Data: Data dalam mod ini tidak digunakan untuk latihan model AI (training data).

Buat masa ini, akses awal diberikan kepada kumpulan kecil pengguna dengan pelan ChatGPT Free, Go, Plus, dan Pro di luar Kawasan Ekonomi Eropah (EEA), Switzerland, dan United Kingdom untuk tujuan pengujian.

OpenAI merancang untuk memperluaskan akses kepada semua pengguna web dan iOS dalam beberapa minggu akan datang. Pelancaran ini juga selari dengan kenyataan Pesuruhjaya FDA Amerika Syarikat, Marty Makary, yang menyuarakan hasrat untuk melonggarkan regulasi terhadap peranti dan perisian gaya hidup sihat .

Tinggalkan komentar