Ejen-ejen AI dilihat sebagai satu lagi trend yang besar di arena kecerdasan buatan (AI) dan OpenAI mengambil langkah segera mengikuti trend ini. Syarikat berkenaan baru-baru ini telah mengumumkan ChatGPT Agent yang membolehkan ia melaksanakan tindakan bagi pihak pengguna. Mod ejen baharu ini dilengkapkan dengan komputer mayanya sendiri untuk melaksanakan tugasan-tugasan yang kompleks.
Pengguna boleh mengakses ciri baharu ini pada bila-bila masa di ruangan borak dengan memilih “agent mode” di dalam menu pilihan alatan. Seterusnya pengguna boleh menyatakan tugasan yang ejen tersebut perlu lakukan.
ChatGPT Agent seterusnya akan menjelaskan apa yang sedang dilakukannya ketika arahan sedang dilaksanakan. Pengguna juga boleh menyampuk dan mengambil semula kawalan apabila diperlukan. Selain itu, AI berkenaan juga boleh bertanyakan maklumat tambahan kepada pengguna bagi memastikan ia melaksanakan arahan seperti yang dikehendaki.
Menurut OpenAI, ChatGPT Agent boleh melaksanakan tindakan seperti memeriksa kalendar pengguna, memuat turun dan mengubah fail, dan menghubungkan ke aplikasi seperti Gmail dan GitHub untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.
Beberapa tugasan yang mempunyai kesan di dunia nyata seperti membuat pembelian dan menghantar email masih lagi memerlukan input daripada pengguna. AI berkenaan juga akan menolak tugasan-tugasan “berisiko tinggi” sebagai langkah berjaga-jaga dari kesilapan yang dijananya.
Untuk membangunkan ChatGPT Agent, OpenAI telah menggabungkan keupayaan alatan sedia adanya seperti Operator dan Deep Research. Operator berkeupayaan melakukan klik di dalam laman web, manakala Deep Research pula boleh menganalisa maklumat yang dikumpulkan dari pelbagai sumber dan menghimpunkannya ke dalam sebuah laporan yang padat.
ChatGPT Agent mula ditawarkan kepada pelanggan ChatGPT Pro, Plus dan Team pada Khamis lalu. OpenAi juga berhasrat untuk membawakan mod ini kepada pengguna Enterprise dan Education dalam beberapa minggu lagi.













