Nex.Life, pelan pascabayar internet jalur lebar tanpa had dengan mudah alih di bawah Webe Digital baru-baru ini mengumumkan peningkatan kelajuan secara percuma kepada semua pelanggannya. Pelan internet jalur lebar ini pada asalnya ditawarkan dengan kelajuan muat turun 20Mbps dengan kuota tanpa had dan kini kelajuannya telah dipertingkatkan kepada 30Mbps dengan serta-merta
Menurut Nex.Life, peningkatan kelajuan jalur lebar ini ditawarkan secara percuma tanpa melibatkan sebarang penambahan kos tambahan pada langganan. Pengguna Nex.Life dikehendaki untuk memulakan semula (restart) router WiFi masing-masing untuk menikmati kelajuan yang baru yang telah dilaksanakan.
Nex.Life menawarkan pelan internet di rumah dan pelan mudah alih 4G LTE dengan kuota tanpa had untuk RM100/bulan. Menggunakan rangkaian HSBB TM, pelan ini hadir dengan kontrak 12 bulan.
Untuk pelan pascabayar mudah alihnya pula, ia didatangkan dengan data tanpa had pada rangkaian 4G LTE sahaja. Untuk rangkaian 3G pula, ia hanya sekadar menyediakan kuota 500MB sahaja pada setiap bulan. Jika pengguna ingin memerlukan lebih banyak data, terdapat pilihan ‘add-on’ yang bermula dari RM15 untuk 1GB.
Pelan itu tidak merangkumi panggilan suara dan SMS. Nex.Life mengenakan kadar bayaran 20 sen/minit untuk panggilan suara tempatan dan 15 sen bagi setiap SMS.












