Netflix sedang mempertimbangkan untuk menambah pelan langganan bersama-sama iklan selepas gagal mencapai sasaran pertambahan bilangan pelanggan baharu untuk suku pertama tahun ini.

Menurutnya, sejumlah 200,000 pelanggan telah menghentikan langganan sepanjang tempoh tersebut. Ia merupakan pertama kali berlaku di dalam tempoh sedekad ini. Keadaan ini telah mengakibatkan saham Netflix merudum 26% dan kehilangan sebanyak US$40 billion (~RM170.6 billion) dari nilainya.

Berikutan kemerosotan pertambahan bilangan pelanggannya ini, Netflix sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan pelan langganan yang lebih murah. Pelan ini juga akan didatangkan bersama-sama iklan, mirip dengan penawaran oleh Disney+ dan HBO Max.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Reed Hasting, beliau secara peribadi menentang sebarang bentuk pengiklanan pada platformnya. Namun, beliau lebih cenderung untuk mengikuti kehendak para pelanggannya.

Sungguhpun pertumbuhan Netflix kian perlahan berikutan dunia sedang kembali pulih dari pandemik, kemerosotan ini turut disumbangkan oleh saingan yang sengit di arena penstriman. Malah, isu-isu lain seperti perkongsian akaun antara pengguna dan juga peperangan di Ukraine turut menyumbang kepada pengurangan ini.

Untuk isu akaun yang dikongsikan, Netflix menganggarkan sejumlah 100 juta isi rumah di seluruh dunia berkongsikan satu akaun Netflix. Pihaknya kini sedang merancang untuk menaikkan harga bagi pengguna-pengguna tersebut.

Netflix juga sedang menjalankan pengujian fungsi ‘Extra Member’ untuk mengenakan caj tambahan bagi pengguna yang berkongsikan akaun dengan pengguna di luar isi rumah masing-masing.

Buat masa ini, pengujian tersebut sedang dijalankan di Chile, Costa Rica, dan Peru. Menurut Netflix, pihaknya juga merancang untuk melaksanakan fungsi tersebut dengan lebih meluas ke negara-negara lain dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Tinggalkan komentar