Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Netflix Ted Sarandos mengeshakan pelan langganan dengan sokongan iklan akan diperkenalkan dalam masa yang terdekat ini. Beliau memaklumkan di dalam festival pengiklanan Cannes Lions baru-baru ini.

Sebelum ini Netflix pernah beberapa kali mencadangkan untuk memperkenalkan pelan yang lebih mampu milik sejak dari April lalu. Ia bertujuan bagi memberikan pilihan kepada pengguna yang tidak kisah tentang iklan asalkan dapat menonton kandungan Netflix.

Beliau turut menyatakan pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan dengan pengiklan-pengiklan yang berminat, namun tidak menyatakan bilakah ia akan mula diperkenalkan. Bagaimanapun, menerusi surat edaran dalaman kepada warga kerja Netflix, pelan langganan beriklan ini dijangka akan diperkenalkan dalam tempoh hujung tahun 2022, menurut The New York Times.

Setakat ini Netflix masih belum menyatakan harga bagi pelan langganan baharu berkenaan dan bagaimanakah ia akan disediakan di dalam platformnya.

Tindakan Netflix memperkenalkan pelan bersama-sama iklan ini adalah sesuatu yang diduga berikutan kemerosotan keuntungannya kebelakangan ini apabila dunia kian beransur pulih dari wabak pandemik.

Kemerosotan ini turut disumbangkan oleh persaingan kandungan digital yang kian sengit, masalah perkongsian akaun dan juga isu peperangan di antara Ukraine dan Russia.

Tinggalkan komentar