PUTRAJAYA, 12 Disember 2025 — Malaysia melangkah ke fasa baharu dalam pembangunan data pendidikan awal kanak-kanak dengan peluncuran Sistem National Child Data Centre (NCDC) 2.0, sebuah platform pangkalan data komprehensif yang dipertingkatkan menggunakan teknologi generasi baharu bagi menyokong perancangan dasar negara secara lebih berkesan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata peningkatan keupayaan sistem itu membolehkan NCDC 2.0 berfungsi sebagai pusat data nasional yang mengumpulkan, memprofil dan menganalisis perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh merentasi pelbagai agensi.

“Sistem NCDC 2.0 bukan sekadar storan data, tetapi sebuah ekosistem teknologi yang menyokong keputusan berasaskan bukti, memperkukuh pentadbiran TASKA dan prasekolah, serta meningkatkan keberkesanan intervensi pendidikan awal,” katanya ketika merasmikan majlis itu di Putrajaya International Convention Centre (PICC), hari ini.
Beliau berkata sistem yang dibangunkan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu kini mendapat sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Bahagian PERMATA, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) serta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, menjadikan NCDC 2.0 pangkalan data kanak-kanak paling komprehensif di negara ini.
Menurut Fadhlina, integrasi antara pendidikan dan kesihatan dalam platform tunggal membolehkan pemantauan perkembangan kanak-kanak dilakukan lebih holistik, termasuk pengesanan awal masalah tumbesaran dan kesediaan ke sekolah.
Fadhlina berkata pengukuhan penggunaan data dalam pendidikan awal amat penting memandangkan negara sedang bergerak ke arah pembangunan kurikulum baharu, termasuk Kurikulum Persekolahan 2026.
“Sistem seperti NCDC 2.0 membolehkan kita membina dasar dan kurikulum berdasarkan realiti sebenar yang dialami kanak-kanak, bukannya andaian,” ujar beliau.
Dalam majlis sama, UPSI turut melancarkan integrasi Education for Sustainable Development (ESD) serta menyambut Hari Kanak-Kanak peringkat UPSI 2025.
Mula dibangunkan pada 2013

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, sistem NCDC yang mula dibangunkan pada 2013 kini berkembang menjadi versi 2.0 dengan peningkatan teknologi lebih moden, mesra pengguna dan bersepadu dengan pelbagai pangkalan data agensi kerajaan.
“NCDC 2.0 hari ini telah memprofilkan 3,273 TASKA berdaftar, 16,350 kakitangan, 75,663 kanak-kanak bawah lima tahun dan lebih 454,000 rekod perkembangan sejak kohort pertama lahir pada 2010.
Beliau berkata peningkatan itu membolehkan pihak kerajaan, penyelidik dan penggubal dasar menilai tren perkembangan kanak-kanak secara longitudinal, sekali gus memperkukuh intervensi awal dan penyediaan kurikulum yang lebih relevan.
“Kerjasama teknikal bersama JKM, JPNIN, KEMAS dan integrasi terkini dengan rekod kesihatan KKM katanya, membolehkan NCDC 2.0 berfungsi sebagai “hab data nasional” yang menyelaras maklumat pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia,” katanya.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Wakil Timbalan (Program) UNICEF, Sanya Saranovic; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr. Suriani Abu Bakar.












