Nama iPhone bagi keluaran tahun 2021 ini mungkin akan diubah. Berdasarkan laporan dari TrendForce, sebuah syarikat penyelidikan pasaran mendapati nama iPhone 12s kerapkali dicadangkan.

Hal ini membawa kepada spekulator seperti Jon Prossser berpendapat nama iPhone 12s berkemungkinan akan digunakan bagi siri iPhone keluaran tahun ini.

Keadaan ini hampir sama pada iPhone keluaran 2015 melalui iPhone 6s dan iPhone Xs pada tahun 2018. Nama ini bersesuaian dengan mengambil kira penambahbaikan kecil pada siri iPhone berkenaan.

TrendForce turut mengesahkan takuk yang lebih kecil seperti yang dipertontonkan pada imej pengolokan yang tertiris sebelum ini. Turut diramal, iPhone keluaran tahun ini akan hadir dengan cip A15, dengan storannya sehingga 500GB dan boleh diperbesarkan sehingga 1TB.

Para penganalisis pasaran yakin Apple akan melangkau penamaan iPhone 13 dan akan terus ke iPhone 14 pada 2022 kelak. Ini memandangkan nombor “13” dianggap membawa nasib malang bagi sesetengah masyarakat di Barat.

Sesetengah pengeluar teknologi juga kadangkala mengikuti kepercayaan tahyul ini bagi tujuan pemasaran. Misalnya seperti Qualcomm yang menggunakan nombor 888 bagi produk mercu terkininya kerana ianya dianggap sebagai nombor bertuah bagi masyarakat China.

Perubahan kecil pada siri ‘iPhone 12s’ kelak akan membuka ruang untuk penambahbaikan besar-besaran pada iPhone 14 nanti.

Tinggalkan komentar