Syarikat pembekal perkhidmatan internet (ISP) dari Singapura, MyRepublic mensasarkan untuk menawarkan internet berkelajuan 100 Mbps dengan kadar bayaran sekitar RM 60 hingga RM 70 sebulan. Kos internet jalur lebar di Malaysia merupakan topik hangat yang sering dibincangkan di kalangan rakyat.
TM baru-baru ini memperkenalkan pelan Unifi terbaru yang menawarkan pakej yang lebih pantas pada harga yang sedikit kurang. Walaubagaimanapun, tindakan TM yang membatalkan penawaran pakej Unifi paling rendah 5 Mbps pada harga RM149 sebulan telah mengecewakan sebilangan rakyat Malaysia yang mengharapkan TM dapat menawarkan pakej internet jalur lebar pada harga mampu milik.
Oleh itu, kehadiran MyRepublic membekalkan perkhidmatan internet jalur lebar diharapkan mampu memberikan saingan dalam mengurangkan harga langganan internet di Malaysia di kalangan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan internet di Malaysia.
Terdahulu, MyRepublic pernah menawarkan internet gentian dengan kelajuan 1 Gbps pada harga langganan serendah S$ 49 sebulan (bersamaan RM 150) ketika awal kemunculannya. Pada ketika itu, kebanyakan penyedia perkhidmatan internet di Singapura meletakkan kadar pada S$ 395/bulan (bersamaan RM 1215) untuk kelajuan yang sama. Tidak lama kemudian, penyedia-penyedia perkhidmatan internet lain di Singapura terpaksa mengurangkan harga perkhidmatan untuk mengimbangi saingan yang telah diwujudkan oleh MyRepublic.
Menurut DigitalNewsAsia, MyRepublic merancang untuk memasuki pasaran Malaysia dengan harapan untuk menawarkan internet berkelajuan 100 Mbps pada sekitar RM 60 hingga RM 70. Bagaimanapun, impak kehadiran penyedia perkhidmatan internet dari Singapura berkait rapat dengan undang-undang di Malaysia dan ia amat bergantung sama ada TM mahu membuka akses rangkaian mereka menjelang 2016 kelak.
Buat masa ini, penyedia internet jalur lebar gentian seperti Maxis dan P1 menggunakan rangkaian HSBB (High Speed Broadband) yang sama dengan TM. Oleh itu, keadaan ini amat tidak sesuai dengan operasi MyRepublic untuk menawarkan internet berkelajuan tinggi pada harga yang masuk akal.
Sebagai langkah untuk mengembangkan operasi mereka ke Malaysia, syarikat penyedia perkhidmatan internet ini turut melantik Michael Lai (bekas CEO P1 dan TM Net) untuk membuka peluang pasaran perkhidmatan internet di Malaysia.
Penawaran 100 Mbps pada kadar RM 60 sebulan merupakan tawaran yang murah giler jika dibandingkan dengan TM yang meletakkan kadar harga dua kali ganda untuk perkhidmatan internet ADSL berkelajuan 1 Mbps.
Mampukah MyRepublic memberi impak besar terhadap penyediaan perkhidmatan internet di Malaysia?
-Sumber berita diperoleh dari Digital News Asia













