MYAirline telah mengeluarkan kenyataan baharu berhubung penamatan mengejut operasinya bermula pada hari ini 12 Oktober 2023. Kesan dari penamatan tersebut telah mengakibatkan pembatalan besar-besaran penerbangan ke semua destinasi.
Selain dari mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada penumpang dan pihak-pihak lain yang terkesan, penerbangan berkenaan juga mengeluarkan kenyataan berhubung tuntutan gantian semula tiket penerbangan serta status semasanya sebagai syarikat penerbangan.
“Kami dengan hormatnya meminta semua pihak berkepentingan untuk bersabar ketika kami terus meneliti semua pilihan yang ada.
“(Pada masa sama) kami juga sedia maklum terhadap rasa marah dan kekecewaan pelanggan serta pihak terjejas dan MYAirline mengakui bertanggungjawab di atas kekalutan susulan notis serta-merta kami,” katanya.
MYAirline menambah pihaknya kini tidak mampu menawarkan sebarang khidmat kepada penumpang yang terkandas di lapangan terbang berikutan kekangan kewangan ketara yang dihadapi sekarang.
Para penumpang di lapangan terbang juga digalakkan menghubungi khidmat pelanggan melalui e-mel di customercare@myairline.my dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam untuk membuat tuntutan gantian semula tiket.
Pihak penerbangan tersebut juga mengambil kesempatan menyatakan rasa terima kasih kepada AirAsia, Batik Air dan Malaysian Airlines, serta Malaysian Airports Holdings Berhad yang membantu penumpang yang terjejas.
Buat masa ini MYAirline sedang mencari pelbagai kaedah untuk memulakan semula operasi penerbangannya dan meminta kesemua pemegang saham bersabar. Sebarang perkembangan dari semasa ke semasa dijanjikan akan dimaklumkan kemudian, menurut kenyataan media tersebut lagi.










