Microsoft telah memperkenalkan edisi baharu Windows 11 yang direka khusus bagi kegunaan pelajar dan institusi pendidikan. Windows 11 SE akan didatangkan secara eksklusif pada laptop berharga bajet yang biasanya digunakan di bilik darjah K-8 di sekolah-sekolah di Amerika Syarikat.

Microsoft sedang berusaha meraih kembali kumpulan pengguna dari kelompok sekolah dan pelajar yang kini lebih cenderung menggunakan Chromebook. Sebelum ini, Windows 10 S Mode pernah diperkenalkan yang mengehadkan pemasangan aplikasi hanya dari Microsoft Store sahaja. Rata-rata pengguna memberikan respons negatif terhadap usaha tersebut.

Menurut laporan dari ZDNet, edisi khusus ini pula menggunakan pendekatan berbeza seperti yang pernah diusahakan sebelum ini melalui projek Windows 10X sebelum ia dibatalkan.

Aplikasi-aplikasi khusus Windows 11 SE

Edisi sistem operasi ini hanya boleh didapati pada peranti berkos rendah, serta ditawarkan kepada pengguna institusi pendidikan sahaja. Sungguhpun sistem operasi ini mengoptimumkan aplikasi dari Microsoft seperti Edge, Office dan perkhidmatan awanannya, ia tidak mengehadkan penggunaan aplikasi-aplikas lain.

Bahagian Widget Windows 11 baharu juga telah dialih keluar pada SE kerana Microsoft menganggap ia mengganggu suasana pembelajaran. Miicrosoft Edge pula telah dikonfigurasikan untuk menerima pemalam Chrome, berbeza dengan pada Windows 11 yang secara lalainya fungsi tersebut telah dimatikan.

Beberapa pengeluar telah menyatakan hasrat untuk menghasilkan laptop berharga bajet khusus Windows 11 SE dalam beberapa bulan lagi. Antaranya, Acer, Asus, Dell, Dynabook, Fujitsu, HP, Lenovo, dan sebagainya.

Dalam pada masa yang sama, Microsoft juga menambahbaik kaedah pengurusan bagi pentadbir sistem IT dalam memantau peranti-peranti tersebut. Beberapa aplikasi juga telah dipasangkan secara pukal seperti Teams, Office, OneNote, Minecraft for Education, dan Flipgrid bagi memudahkan pentadbir sistem.

Microsoft menjangkakan laptop dengan Windows 11 SE akan tiba di saluran pendidikan sekitar penghujung tahun ini hingga awal tahun depan menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan di Amerika Syarikat.

Tidak dapat dipastikan bilakah laptop berharga bajet dengan Windows 11 SE ini bakal hadir ke pasaran tempatan. Peranti-peranti berharga bajet semestinya dapat membantu ibu bapa dalam menguruskan sesi pelajaran dan pembelajaran di rumah.

Tinggalkan komentar