Microsoft secara rasmi akan menamatkan sokongan untuk sistem operasi Windows 10 pada 14 Oktober 2025. Selepas tarikh tersebut, komputer yang masih menggunakan Windows 10 tidak akan lagi menerima sebarang kemas kini, termasuk sokongan keselamatan kritikal.

Walau bagaimanapun, Microsoft kini menawarkan program Kemas Kini Keselamatan Lanjutan (Extended Security Updates, ESU) secara percuma selama setahun. Tawaran ini membolehkan pengguna terus mendapatkan perlindungan keselamatan sehingga Oktober 2026.

Program ESU ini bertujuan memberi lebih masa kepada pengguna untuk merancang peralihan ke sistem operasi yang lebih baharu atau menaik taraf perkakasan komputer mereka. Sebelum ini, perkhidmatan ESU diumumkan berharga sekitar AS$30 (~RM141) setahun, namun kini terdapat pilihan percuma yang diperkenalkan oleh Microsoft.

Untuk melayakkan diri bagi pilihan percuma ini, pengguna perlu menghubungkan akaun tempatan (local login) kepada perkhidmatan awanan Microsoft.

Langkah mendapatkan ESU Windows 10 secara percuma

Berikut adalah langkah-langkah untuk mendaftar program ESU dan memastikan peranti Windows 10 anda kekal selamat untuk setahun lagi:

  • Langkah 1: Pastikan PC anda dikemas kini sepenuhnya. Semak versi semasa di Settings > System > About dan pasang sebarang kemas kini Windows 10 yang belum selesai.
  • Langkah 2: Pastikan anda log masuk menggunakan akaun pentadbir (administrator). Ini boleh disahkan di bawah Settings > Your Info.
  • Langkah 3: Semak sama ada komputer anda layak untuk dinaik taraf ke Windows 11. Jika pilihan naik taraf tersedia, ia adalah langkah yang disyorkan. Jika tidak, teruskan ke langkah seterusnya.
  • Langkah 4: Untuk mendaftar ESU, pergi ke Settings > Update & Security dan klik pautan “Enroll Now”. Jika pautan ini tidak kelihatan, pastikan sistem anda telah memasang kemas kini Windows 10 yang terkini.
  • Langkah 5: Pilih kaedah pendaftaran anda. Pilihan percuma memerlukan anda membuat salinan sandaran (backup) tetapan PC menggunakan perkhidmatan OneDrive Microsoft. Selepas log masuk, klik “Add Device” untuk melengkapkan proses.

Perlu diingatkan bahawa perkhidmatan OneDrive percuma hanya menyediakan storan sebanyak 5GB. Pengguna boleh memilih untuk menaik taraf ke kapasiti yang lebih besar dengan bayaran.

Walaupun pengguna boleh mematikan salinan sandaran yang tidak diingini untuk kekal dalam had percuma, proses pengurusan storan ini mungkin mencabar bagi sesetengah pengguna.

Setelah pendaftaran selesai, peranti anda akan terus menerima kemas kini keselamatan sehingga Oktober 2026. Ini memberikan masa yang mencukupi untuk merancang langkah seterusnya, sama ada menaik taraf komponen PC agar serasi dengan Windows 11 atau membeli sistem komputer baharu sepenuhnya. Kedua-duanya ini mungkin melibatkan kos yang tinggi bagi kebanyakan pengguna.

Tinggalkan komentar