Siri Surface model mampu milik, Surface Go 2 kini dilancarkan bersama-sama Surface Book 3. Peranti terbaru keluaran Microsoft ini telah menerima penambahbaikan dari segi luaran dan juga dalamannya.
Pertambahan ketara yang terdapat pada Surface Go 2 adalah pada saiz skrinnya, dari 10-inci pada keluarannya yang terdahulu kepada 10.5-inci.
Namun, saiz perantinya masih lagi kekal sama kerana ia hanya menginjakkan sedikit bingkainya. Resolusinya juga turut dipertingkatkan kepada 1920 x 1280, sedang nisbah aspeknya masih lagi kekal pada 3:2.
Surface Go 2 hadir dengan dua pilihan CPU iaitu Intel Pentium Gold 4425Y dan Intel Core m3 Generasi Ke-8. Menurut Intel pemprosesan Intel Core m3 menawarkan 64 peratus lebih kelajuan berbanding Intel Pentium Gold 4425Y.
Untuk memori, peranti Microsoft ini menyediakan dua pilihan RAM DDR4 iaitu 4GB atau 8GB. Begitu juga untuk pilihan storan SSD eMMC untuk peranti ini, ia menawarkan pilihan 64GB atau 128GB.
Tidak ketinggalan Surface Go 2 menyokongan sambungan rangkaian mudah alih LTE. Selain itu, tablet ini juga menyediakan sebuah port USB Type-C bersmaa-sama pembaca kad mikroSD.
Microsoft Surface Go 2 dijual di pasaran Amerika Syarikat dengan harga bermula $399 (~RM1,725) untuk model pemprosesan Intel Pentium Gold, RAM 4GB. Aksesori lain seperti papan kekunci, tetikus, dan pen stylus dijual secara berasingan. Setakat ini masih belum diketahui bilakah tablet terbaru dari Microsoft ini akan memasuki ke pasaran Malaysia.













