Microsoft telah mengumumkan rancangan untuk membangunkan rantau awanan (cloud region) keduanya di Malaysia, yang akan ditempatkan di Johor Bahru.

Rantau awanan yang dinamakan ‘Southeast Asia 3’ ini merupakan susulan kepada pelancaran rantau awanan Malaysia West di kawasan Greater Kuala Lumpur pada Mei lalu. Pengumuman yang dibuat semasa acara Microsoft AI Tour ini menandakan satu lagi langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau.​

Rantau awanan generasi akan datang ini direka untuk menyokong beban kerja termaju dan memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang di seluruh rantau Asia Tenggara. Menurut Microsoft, inisiatif ini akan “menyediakan asas untuk penggunaan AI (Kecerdasan Buatan) yang boleh skala”.

Apabila beroperasi, ia akan menawarkan perkhidmatan awanan dan AI Microsoft yang paling komprehensif, sejajar dengan permintaan yang meningkat untuk pengkomputeran selamat daripada sektor awam dan swasta.​

Pelaburan strategik ini bertujuan untuk mempercepatkan Transformasi AI di Asia Tenggara, memenuhi permintaan untuk perkhidmatan awanan yang dipercayai, dan memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Beberapa syarikat terkemuka di Malaysia seperti Affin Group, Petronas, dan RHB Bank telah pun mula mengintegrasikan ejen AI ke dalam proses kerja mereka dengan teknologi Microsoft.​

“Rantau awanan Southeast Asia 3 yang akan datang mengukuhkan komitmen berterusan Microsoft untuk menyampaikan perkhidmatan awanan yang selamat, berdaya tahan dan boleh skala yang mempercepatkan inovasi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju digital serantau,” kata Laurence Si, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia.

Beliau turut menambah bahawa syarikatnya komited untuk memperkasakan tenaga kerja negara dengan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi ekonomi AI.

Tinggalkan komentar