Microsoft telah memutuskan akses Kementerian Pertahanan Israel ke beberapa teknologi dan perkhidmatan selepas siasatan dalaman mendapati teknologi syarikat telah digunakan untuk menyimpan data pengawasan panggilan telefon yang dibuat oleh rakyat Palestin.
Pengumuman dari Microsoft pada Selasa lalu yang melibatkan keputusan “cease and disable” untuk langganan tertentu dari tentera Israel. Ia melibatkan langganan ke storan awan Azure dan beberapa perkhidmatan AI.
“Kami tidak menyediakan teknologi untuk digunakan sebagai pengawasan massa orang awam,” Naib Pengerusi dan Presiden Microsoft Brad Smith menulis di dalam sebuah hantaran di blog.
“Kami telah melaksanakan prinsip ini di setiap negara di seluruh dunia, dan kami telah menekankannya berulang kali lebih dari dua dekad. Inilah sebabnya kenapa kami menjelaskan secara terbuka pada 15 Ogos bahawa syarat lazim perkhidmatan Microsoft menghalang penggunaan teknologi kami untuk pengawasan massa orang awam.”
Microsoft telah memaklumkan kepada Israel keputusan tersebut pada minggu lepas, menurut The Guardian.
Keputusan tersebut dibuat selepas penilaian isu tersebut yang masih dijalankan sejak Ogos lalu. Siasatan tersebut dimulakan selepas The Guardian melaporkan unit perisikan ketenteraan Israel, Unit 8200 menggunakan storan awanan Azure untuk menyimpan data panggilan telefon yang diperolehi hasil dari pengawasan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Di dalam hantaran blog yang sama, Smith turut menghargai laporan oleh The Guardian. Tanpa laporan tersebut, pihak Microsoft tidak dapat melakukan siasatan kerana hak privasi pelanggan dan tidak mempunyai akses ke kandungan milik pelanggan.
Microsoft menerima kritikan hebat dari pekerja-pekerjanya dan orang ramai kerana penglibatannya dengan Israel sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Protes terhadap hubungan di antara Microsoft dan Israel tercetus ketika sambutan ulang tahun ke-50 syarikat pada April lalu. Ogos baru-baru ini, beberapa kakitangan telah mengadakan protes duduk-bantah di pejabat Brad Smith hingga terpaksa ditutup.
Dalam pada masa yang sama, Microsoft turut memecat sejumlah pekerjanya beberapa bulan lalu kerana penglibatan aktif membantah hubungan syarikat dengan Israel.