Microsoft telah melancarkan Windows 11 versi 25H2 dan bersama-sama dengannya beberapa masalah yang telah disahkan akan muncul jika kemaskini tersebut dipasang. Buat masa ini, terdapat dua isu yang diketahui pada Windows 11 versi 25H2 dengan salah satunya memberikan kesan apabila menonton filem melalui DVD atau BluRay.

Isu yang diketahui tersebut adalah:

  • Masalah memainkan kandungan dilindungi di dalam sesetengah aplikasi BluRay, DVD atau TV Digital. Sesetengah aplikasi tidak boleh memaparkan atau merekodkan siaran langsung TV atau memainkan kandungan dilindungi Digital Rights Management (DRM).
  • Kemaskini dipasang melalui WUSA mungkin gagal jika dipasang dari folder perkongsian. Isu ini boleh terjadi apabila pemasangan kemaskini dilakukan dari folder network yang mengandungi sejumlah fail-fail .msu.

Microsoft menjelaskan, “Aplikasi yang menggunakan Enhanced Video Renderer dengan HDCP enforcement atau Digital Rights Management (DRM) untuk audio digital mungkin mengalami ralat perlindungan hak cip terpelihara, gangguan main semula yang kerap, skrin menjadi pegun atau skrin menjadi gelap.” Ralat yang sama juga boleh menjejaskan pengguna versi 24H2.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang kaedah mengatasi atau pembaikan sementara yang boleh dilakukan pengguna buat masa ini. Microsoft menyatakan pihaknya sedang berusaha menyediakan penyelesaian di dalam kemaskini Windows akan datang dan akan memaklumkan kemudian.

Untuk isu berkaitan Windows Update Standalone Installer (WUSA), Microsoft menyatakan pembaikan boleh dilakukan dengan menyalin fail-fail MSU ke dalam direktori setempat (local directory) sebelum memasangkannya. Isu ini bagaimanapun tidak menjejaskan pengguna versi Home kerana ia lebih kepada pengguna perusahaan atau organisasi.

Microsoft dijangka mengemaskini senarai isu diketahui 25H2 ketika semakin banyak ralat dan isu yang ditimbul semasa pertambahan pengguna 25H2.

Tinggalkan komentar