Microsoft telah mengumumkan perancangan untuk membawakan kemas kini signifikan kepada sistem operasi Windows 11 pada tahun hadapan. Fokus utamanya adalah untuk menjadikan platform tersebut sebagai tempat terbaik bagi permainan video.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik syarikat untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran permainan berkomputer. Khususnya dalam segmen peranti permainan mudah alih (handheld) yang semakin berkembang pesat.
Dalam usaha untuk memastikan sistem operasi mereka lebih efisien untuk pemain, Microsoft telah menggariskan beberapa tonggak utama yang akan diberi perhatian dalam masa terdekat.
Ini termasuk pengurusan beban kerja latar belakang (background workload management), penambahbaikan kuasa dan penjadualan, optimasi timbunan grafik (graphics stack), serta pemacu yang dikemas kini.
Penambahbaikan elemen-elemen ini dijangka membolehkan Windows beroperasi dengan lebih ringan, sekaligus membebaskan sumber sistem untuk membolehkan permainan berjalan dengan lebih lancar.
“Kami komited untuk menjadikan Windows tempat terbaik untuk bermain, dan kami akan terus memperhalusi tingkah laku sistem yang paling penting untuk permainan,” menurut kenyataan Microsoft yang dipetik melalui laporan tersebut.
Antara ciri teknikal utama yang bakal diperkenalkan termasuk:
- Auto SR (Super Resolution): Ciri penskalaan aras sistem operasi (OS-level upscaling) ini akan diperluaskan ke PC permainan mudah alih (handheld gaming PCs) bermula tahun hadapan. Ia menjanjikan visual yang lebih tajam dan kadar bingkai yang lebih lancar tanpa memerlukan input daripada pembangun.
- Advanced Shader Delivery (ASD): Ciri ini akan memuat turun shader permainan lebih awal untuk membolehkan pelancaran permainan yang lebih pantas, prestasi lebih lancar, dan penggunaan bateri yang lebih efisien. Sokongan ini sedang diperluaskan kepada lebih banyak peranti dan permainan.
Langkah ini dilihat sebagai respons langsung terhadap persaingan daripada Valve, yang telah mempopularkan semula permainan mudah alih menerusi Steam Deck dan ekosistem SteamOS.
Melalui pembaharuan ini, Microsoft dilihat bersedia untuk bersaing secara langsung dan memposisikan semula Windows sebagai platform pilihan utama bagi pemain, tanpa mengira perkakasan atau perpustakaan permainan yang digunakan.













