Microsoft Defender kini ditawarkan untuk sistem operasi Apple, MacOS. Pengguna-pengguna perusahaan kini sudah boleh mendapatkan pratonton awal ATP Defender untuk MacOS.

Cuma selang beberapa hari selepas pemalam Windows Defender untuk Chrome dan Firefox, Microsoft kini membawakan perisian antivirus keluarannya ke lebih banyak platform dengan permulaannya pada Mac.

Pastinya, dengan perkembangan ini nama Windows Defender sudah tidak sesuai digunakan dan sepatutnya dikenali sebagai Microsoft Defender.

Pengguna perusahaan boleh menerima pratonton awal Defender ATP untuk Mac sejak dari semalam untuk peranti-peranti yang menggunakan MacOS Mojave, MacOS High Sierra atau MacOS Sierra.

Perisian berkenaan memuatkan perlindungan pencegahan, pengesanan pasca-pelanggaran, siasatan berautomatik dan alatan respon sepertimana yang terdapat pada versi Windows.

Sama seperti Office for Mac, Defender memerlukan perisian Microsoft AutoUpdate bagi membolehkannya menerima kemaskini terkini secara terus dari Microsoft.

Peningkatan bilangan insiden malware sejak kebelakangan ini menjadikan MacOS semakin mudah terdedah dengan pelbagai ancaman dan tidak lagi ‘kebal’ seperti dahulu. Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada perisian Microsoft Defender ini akan disediakan untuk pengguna MacOS biasa.

Selain itu, perisian antivirus dari Microsoft ini juga memperkenalkan fungsi Threat and Vulnerability Management (TVM) melalui mod pra-tontonnya. TVM direka bagi memaklumkan kepada pentadbir berkenaan kerentanan sistem dengan memahami secara masa nyata, penyiasatan insiden dan proses baik pulih terbina dalam.

Sumber berita diperoleh dari Microsoft

Tinggalkan komentar