Microsoft sedang merancang untuk menyertakan fungsi baharu dan berguna ke dalam fungsi carian melalui palang tugasan (taskbar) Windows 10. Penemuan ini telah dikongsikan oleh anggota Microsoft Community, HotCakeX.
Selain dari membantu pengguna mencari dokumen-dokumen, aplikasi dan sebagainya di dalam PC, fungsi terbaru ini mengintegrasikan bar carian dengan pelayar web Microsoft Edge.
Menurut laman web teknologi, Windows Latest, bar carian ini akan menyegerakkan (sync) sepenuhnya dengan Microsoft Edge. Ia seterusnnya boleh memaparkan kegemaran atau penanda buku (bookmarks) anda, sejarah melayari internet, laman utama dan juga tab terkini dari pelayar. Selain itu, ia juga boleh mengakses ke sejarah pelayaran internet melalui pelayar pada peranti mudah alih anda.
Fungsi ini ditawarkan sebagai pilihan dan pengguna dibenarkan untuk menyahaktifkannya jika tidak berminat. Menyahaktif integrasi ini akan menghapuskan data dan sejarah pelayaran internet yang dikongsikan antara Microsoft Edge dan Windows bagi tujuan penjagaan privasi.
Buat masa ini, integrasi ini sedang diuji pada Windows 10 versi 2004/20H2 dan Microsoft Edge Canary versi 91.0831.0 dan ditawarkan untuk sesetengah pengguna yang terpilih.
Setakat ini tidak dapat diketahui sama ada Microsoft merancang untuk menawarkan fungsi ini kepada pengguna umum atau tidak dalam masa terdekat ini.













