Microsoft mengalami gangguan besar pada platform pengkomputeran awan utamanya, Azure, pada hari Rabu, 29 Oktober 2025. Insiden ini menyebabkan pelbagai perkhidmatan syarikat termasuk Microsoft 365, Xbox, dan Minecraft tidak dapat diakses oleh pengguna di seluruh dunia. Gangguan tersebut dilaporkan bermula sekitar jam 12:00 PM waktu tempatan, atau 12:AM waktu Malaysia.​

Gangguan ini berpunca daripada masalah berkaitan Sistem Nama Domain (DNS) dan perubahan konfigurasi yang tidak disengajakan pada infrastruktur Azure. Laman penjejak gangguan, Downdetector, mula menunjukkan lonjakan laporan daripada pengguna sekitar jam 11:40 pagi ET. Selain perkhidmatan Microsoft sendiri, pelbagai syarikat lain yang bergantung pada Azure turut terjejas, termasuk Starbucks, Asda, NatWest dan syarikat penerbangan Alaska Airlines.​

Pihak Microsoft mengesahkan isu tersebut melalui laman status rasmi Azure dan akaun media sosial sokongan teknikal mereka. Dalam satu kenyataan awal, syarikat itu memaklumkan:​

“Bermula kira-kira jam 16:00 UTC, kami mula menghadapi komplikasi DNS yang membawa kepada penurunan ketersediaan beberapa perkhidmatan. Pengguna mungkin menghadapi cabaran mengakses Portal Azure.”​

Microsoft kemudiannya mengenal pasti punca utama gangguan tersebut adalah disebabkan oleh perubahan konfigurasi yang tidak disengajakan dan mula mengambil langkah pemulihan serentak. Ini termasuk menyekat semua perubahan pada perkhidmatan terjejas dan mengembalikan sistem kepada konfigurasi stabil terakhir yang diketahui.​

Insiden ini berlaku hanya beberapa jam sebelum Microsoft dijadualkan untuk mengeluarkan laporan pendapatan suku tahunannya. Ia juga berlaku tidak lama selepas Amazon Web Services (AWS), pesaing utama Azure, mengalami gangguan besar yang serupa minggu sebelumnya. Insiden ini menimbulkan kebimbangan mengenai kebergantungan tinggi internet pada sebilangan kecil penyedia perkhidmatan awan.​

Microsoft telah mula melaksanakan proses baik pulih dan mengalihkan trafik melalui nod yang stabil untuk memulihkan perkhidmatan secara berperingkat. Syarikat menjangkakan bahawa akses kepada perkhidmatan akan pulih sepenuhnya menjelang 6:20 PM ET (6:20 waktu Malaysia). Pengguna dilaporkan mula melihat tanda-tanda pemulihan awal apabila sebahagian perkhidmatan kembali berfungsi.

Tinggalkan komentar