April lalu, Pengurus Rantau Xiaomi bagi Malaysia dan Singapura, Encik Nicholas Shi memaklumkan pihaknya sedang dalam usaha melancarkan lebih banyak peranti IoT ke pasaran tempatan.

Sementara kita menantikan pelancaran Mi TV ke pasaran Malaysia, beberapa produk pintar keluaran Xiaomi bakal menemui pengguna tidak berapa lama lagi.

Salah satunya adalah Mi Wi-Fi Range Extender Pro yang bakal membuat kemunculan di Malaysia pada 25 Jun ini. Sebagaimana namanya, peranti ini digunakan untuk menambahkan jarak liputan Wi-Fi di dalam sesebuah rumah atau premis.

Dilengkapkan dengan dua antena luaran, peranti berkuasa cipset MediaTek ini boleh ditetapkan menerusi aplikasi Xiaomi Home dan mampu menyediakan kelajuan sambungan sehingga 300Mbps. Penambah jarak Wi-Fi ini mampu menyokong sehingga 16 peranti dalam satu-satu masa. Untuk catatan, Mi Wi-Fi Range Extender Pro hanya mampu menyokong jalur Wi-Fi 2.4GHz sahaja.

Harga Mi Wi-Fi Range Extender Pro boleh didapati pada RM59 di Mi Stores seluruh negara. Xiaomi Malaysia juga akan memperkenalkan Mi Ionic Hairdryer dan Mi Robot Vacuum-Mop ke pasaran tempatan pada harga masing-masing RM179 dan RM999.

Tinggalkan komentar