Meta menegaskan pihaknya tidak pernah berhasrat untuk menutup operasinya di Eropah. Kenyataan tersebut telah dikeluarkan menerusi sebuah blog rasminya pada Selasa lalu.

Perkembangan ini merupakan rentetan dari laporan media yang mendakwa Meta mengancam untuk menutup operasi Facebook dan Instagram di Eropah. Hal ini berkait dengan isu penggunaan data peribadi pengguna melibatkan pemindahan data dari Eropah ke pelayannya di Amerika Syarikat.

“Ancaman” yang didakwa tersebut hadir menerusi laporan pendapatan terkini Meta yang diterbitkan pada minggu lepas. Antara yang terkandung di dalam dokumen tersebut adalah mengenai pendirian soal pemindahan data pengguna dari Eropah tersebut.

Laporan berkenaan juga menyatakan isu tersebut berkemungkinan memberikan kesan terhadap perkhidmatan dan produk-produk yang ditawarkan oleh Meta. Sebelum ini Meta pernah mengeluarkan ancaman yang lebih kurang sama, namun pada ketika itu tidak menyebut secara spesifik Facebook dan Instagram.

Kebimbangan Meta berkenaan masa depannya di Eropah lebih terkait dengan Safe Harbour Agreement dan Privacy Shield. Rang undang-undang tersebut digubal oleh Mahkamah Keadilan Eropah bertujuan melindungi data rakyat negara-negara Kesatuan Eropah dari di salah gunakan di pelayan-pelayan di Amerika Syarikat.

Para pembuat dasar di Eropah bagaimanapun rata-rata menyambut baik ura-ura Meta menutup Facebook dan Instagram di negara-negara Kesatuan Eropah tersebut. Menurut Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire:

“I can confirm that life is very good without Facebook and that we would live very well without Facebook. Digital giants must understand that the European continent will resist and affirm its sovereignty,”

Tinggalkan komentar